Aida Adilah Mat


KETUA Pegawai Operasi (COO) PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) Shahaizereen A Hamid menghidupkan aura luar biasa dalam siri perlumbaan itu tahun ini.

Masakan tidak, persamaan wajahnya yang seiras dengan pelakon dalam filem Seniman Bujang Lapuk, HM Busra secara tidak langsung mewarnai LTdL.

Malah dia turut menjadi perhatian penonton yang bukan setakat menyaksikan perlumbaan berstatus Siri Dunia itu tetapi mereka tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengannya.

Penulis sendiri berkesempatan melihat beberapa peminat yang meminta untuk bergambar dengan Shahaizereen dan menyapa dengan panggilan ‘Maznah ye’ dan menyatakan persamaan wajah beliau dengan HM Bursa.

Kehadiran Shahizereen menggamit kembali nostalgia zaman Tan Sri P Ramlee dan beliau sendiri tidak kekok atau marah selepas persamaan itu menjadi tular.

SHAHAIZEREEN pada sidang media selepas berakhirnya siri jelajah Le Tour De Langkawi (LTdL) 2020 di Pantai Cenang. FOTO BERNAMA
SHAHAIZEREEN pada sidang media selepas berakhirnya siri jelajah Le Tour De Langkawi (LTdL) 2020 di Pantai Cenang. FOTO BERNAMA

“Mungkin kehadiran saya juga antara tarikan untuk LTdL kali ini. Selain pasukan dan pelumba hebat yang bertanding, mungkin ada yang datang untuk melihat saya.

“Memang ada yang nak bergambar dengan saya dan bagi saya tiada masalah untuk itu,” katanya.

Terdahulu wajah Shahaizereen dikatakan sama dengan pelakon yang bermain trompet sambil melontarkan dialog ‘Maznah ye?” ketika Ramli (P Ramlee), Ajis (Aziz Sattar) dan Sudin (S Shamsuddin) mengetuk pintu biliknya disebabkan terganggu dengan bunyi bising.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 8:13 PM