Rosyahaida Abdullah


BAGI meneruskan usaha menyemai gaya hidup sihat seawal usia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian memperkenalkan Kids Warrior Challenge sebagai satu lagi cabang sukan untuk diceburi murid dan pelajar sekolah.

Pengarahnya, Zainal Abas berkata, sukan berkonsepkan halangan menggunakan belon angin atau 'inflotable' itu bakal dilaksanakan di seluruh negara dengan kerjasama strategik SH Timeline Creative selaku penganjur bersama.

Jelas beliau, semua murid dan pelajar berumur tujuh hingga 15 tahun digalak menyertai sukan itu yang bukan saja mampu membudayakan aktiviti bersukan malah penyertaan murid dan pelajar turut diambil kira dalam penilaian bagi Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) sekolah.

“Setiap tahun, kita dapat lihat statistik obesiti dan berat badan berlebihan membabitkan murid dan pelajar sekolah semakin meningkat dan ini sebahagian usaha KPM dalam mengurangkan kadar ini.

“Dalam kalendar MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia) juga, setiap tahun terdapat 24 jenis sukan dipertandingkan namun sukan sebegini mempunyai tarikannya tersendiri.

“Ini kerana selain menjadi cabaran yang begitu popular di media massa pada masa kini, sukan ini juga tidak memerlukan kemahiran atau bakat spesifik jadi semua peserta mempunyai peluang untuk cuba,” katanya.

ZAINAL (tengah) diiringi Jailani (kanan) dan Siti Ruhaizah (tiga kiri, tudung coklat) bergambar bersama peserta pada Perasmian Kids Warrior Challenge di Pusat Beli Belah Mytown. FOTO Saifullizan Tamadi
ZAINAL (tengah) diiringi Jailani (kanan) dan Siti Ruhaizah (tiga kiri, tudung coklat) bergambar bersama peserta pada Perasmian Kids Warrior Challenge di Pusat Beli Belah Mytown. FOTO Saifullizan Tamadi

Jelas beliau, sukan itu menyasar pemenang di peringkat negeri mewakili ke peringkat kebangsaan yang bakal diadakan serentak penganjuran Hari Sukan Negara Oktober depan dengan jangkaan lebih 35,000 penyertaan direkodkan pada tahun ini.

“Untuk penganjuran pertama di peringkat negeri, ia dijadualkan pada 27 Februari ini di Perlis dengan sasaran kira-kira 1,000 peserta sebelum jelajah diteruskan ke negeri lain antaranya Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor.

“Kita akan tunggu laporan hasil penganjuran pada tahun ini untuk dinilai mengenai keberkesanan dan impaknya kepada murid dan pelajar.

“Apa lagi saya difahamkan sukan ini hanya meliputi kawasan Semenanjung atas kekangan masa, tentunya saya berharap ia dapat diteruskan pada tahun seterusnya," katanya lagi.

Terdahulu, beliau merasmikan sukan itu di Cheras di sini, diiringi Pengarah Acara Kids Warrior Challenge, Jailani Johari dan Pengarah SH Timeline Creative, Siti Ruhaizah Kastop.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 8:59 PM
Digital NSTP Subscribe