UNIKL dinobatkan selaku juara Liga Perdana selepas perlawanan terakhir bertemu TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini. FOTO Bernama
UNIKL dinobatkan selaku juara Liga Perdana selepas perlawanan terakhir bertemu TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

JUARA Liga Perdana Liga Hoki Malaysia (LHM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menamatkan saingan musim ini dengan rekod cemerlang 14 perlawanan tanpa kalah selepas seri 1-1 menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan nama UniKL selaku antara pasukan terbaik tanah air apabila mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut selain merangkul gelaran juara Piala Sumbangsih 2020 bulan lalu.

Pada aksi terakhir saingan itu, skuad bimbingan Arul Selvaraj ditentang sengit sepanjang perlawanan sebelum TNB berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-51 menerusi gol padang Muhammad Shahril Saabah.

Tersentak dengan jaringan itu, UniKL yang konsisten mengutip tiga mata dalam 13 perlawanan sebelum ini, bangkit menyamakan kedudukan lima minit berselang hasil jaringan Mohamad Ashran Hamsani sekali gus memberi kelegaan kepada pasukan.

Arul berkata keputusan hari ini memberikan satu petanda positif menjelang aksi separuh akhir Piala TNB 2020 berdepan Maybank, Rabu ini.

“Ia satu perlawanan yang mencabar, kedua-dua pasukan memberikan aksi terbaik dan ia juga satu aksi pemanas badan yang baik sebelum aksi separuh akhir Piala TNB.

“Ia satu perlawanan menang atau kalah, kami akan bermain sebagai juara dan kami perlu bermain dengan keyakinan,” katanya.

Sejurus tamat perlawanan, UniKL yang sudah mengesahkan kejuaraan LHM 2020 lebih awal, dinobatkan secara rasmi dalam satu majlis yang dihadiri Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal dan Presiden UniKL, Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.

Sebagai juara, UniKL yang mengumpul 40 mata keseluruhan membawa pulang trofi kemenangan dan hadiah wang berjumlah RM100,000.

TNB muncul pasukan naib juara dan membawa pulang hadiah wang berjumlah RM60,000 sementara Pasukan Hoki Terengganu (THT) terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga dan membawa pulang hadiah wang berjumlah RM40,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 10:17 PM
Digital NSTP Subscribe