GAYA menarik Ramos selepas menjaringkan gol di  Santiago Bernabeu. FOTO Reuters
GAYA menarik Ramos selepas menjaringkan gol di Santiago Bernabeu. FOTO Reuters
Reuters

HAJAT Real Madrid mengukuhkan cengkaman puncak La Liga tidak kesampaian selepas skuad Zinedine Zidane hanya mampu seri 2-2 dengan Celta Vigo di tempat sendiri hasil jaringan lewat penyerang lawan, Santi Mina.

Mina yang mendapat hantaran cantik bekas pemain tengah Barcelona, Denis Suarez meledak rembatan rendah untuk gol penyamaan pada minit ke-85.

Celta terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah pada minit ketujuh apabila penyerang Russia, Fedor Smolov yang menerima hantaran Iago Aspas merembat kencang melepasi jangkauan penjaga gol Real, Thibaut Courtois.

Tetapi Real membalasnya menerusi Toni Kroos pada minit ke-52 sebelum kapten, Sergio Ramos meletakkan skuad Zidane di depan pada minit ke-65 menerusi sepakan penalti.

Keputusan seri itu mengakhiri lima kemenangan berturut-turut pendahulu liga dan meraih 53 mata selepas 24 perlawanan, satu mata mengatasi Barcelona yang menewaskan Getafe 2-1 di tempat sendiri, kelmarin.

Celta pula mendaki melepasi zon penyingkiran ke tangga ke-17 dalam carta La Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 8:58 AM