Skuad wanita Hockademy lakar sejarah dalam penyertaan sulung Liga Hoki Wanita Malaysia.
Skuad wanita Hockademy lakar sejarah dalam penyertaan sulung Liga Hoki Wanita Malaysia.
Ferzalfie Fauzi


SKUAD wanita Hockademy memahat sejarah baharu apabila menjuarai Liga Hoki Wanita Malaysia 2020 dalam penyertaan sulung mereka selepas membelasah wakil Pulau Pinang, Mutiara Impian 13-0 hari ini.

Pada aksi di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu Norshafiqa Ishak paling mencuri tumpuan apabila menyumbat lima gol untuk Hockademy manakala Nuramirah Shakirah Zulkifli, Fatin Shafika Mahd Sukri dan Ellya Amanina Ellias masing-masing menghasilkan dua gol.

Kirandeep Kaur dan Wan Norfaiezah Saiuti turut melengkapkan senarai penjaring gol.

Ketua jurulatihnya, Iman Gobinthan mengakui gembira dengan kejayaan berkenaan, namun mengingatkan anak-anak buahnya misi mereka masih belum selesai.

“Sudah tentu kami amat gembira dengan kejayaan memenangi gelaran dalam penyertaan sulung ini.

“Bagi saya anak-anak buah saya berhak menjuarainya selepas pemain senior dan remaja membentuk kombinasi yang baik.

“Tetapi misi kami belum selesai, selepas ini kami perlu bekerja keras untuk memenangi Piala Vivian May Soars pula," katanya.

Kejayaan mereka bergelar juara dibantu satu lagi keputusan perlawanan antara Pasukan Wanita Hoki Terengganu (TLHT) yang terikat 1-1 dengan PKS Uniten untuk membolehkan Hockademy muncul pemenang dengan mengumpul 25 mata mengatasi pasukan Pantai Timur itu dengan kelebihan dua mata.

Sementara itu, pengurus Hockademy, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, berkata pasukannya berhak memenangi gelaran liga selepas bekerja keras dalam kejohanan itu.

“Kemenangan ini untuk semua pemain, jurulatih, kakitangan Hockademy dan penyokong Kuala Lumpur.

“Walaupun hanya dibentuk dalam dua minggu tetapi kami mendapat khidmat pemain wanita terbaik di Malaysia dan kemenangan ini adalah amat bermakna untuk pasukan baharu seperti kami," katanya.

Selepas ini, Hockademy dijadualkan berdepan Blue Warriors di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Rabu ini bagi pertemuan separuh akhir Piala Vivian May Soars.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 8:26 PM
Digital NSTP Subscribe