Barisan pemain skuad bola sepak Liga Perdana Negeri Sembilan bagi musim 2020. FOTO Mohd Amin Jalil
Barisan pemain skuad bola sepak Liga Perdana Negeri Sembilan bagi musim 2020. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


PERSIAPAN Negeri Sembilan menjelang aksi pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga M) hujung bulan ini sedikit terjejas, apabila dua penyerang utama, Almir Neto dan Igor Luiz, kurang cergas selepas mereka mengalami kecederaan.

Ketua jurulatih, Sazali Saidun, berkata mereka mengalami kecederaan ketika perlawanan persahabatan menentang Pahang di Temerloh pada 11 Februari lalu, yang berkesudahan Negeri Sembilan tewas, 0-2.

Beliau akui situasi berkenaan merungsingkannya kerana kedua-dua pemain import terbabit adalah tonggak utama di posisi serangan skuad Hobin Jang Hobin, yang akan mengharungi saingan Liga Perdana musim ini

"Kecederaan dialami Almir dan Igor sememangnya membimbangkan saya kerana pemain terbabit antara sandaran utama bagi mengetuai jentera serangan pasukan menjelang aksi pembuka tirai saingan Liga Perdana, 29 Februari nanti.

"Saya berharap kecederaan dialami mereka cepat pulih kerana kita mempunyai masa tidak sampai dua minggu untuk memulakan cabaran dalam saingan liga," katanya.

Almir, 34, dan Igor, 30, adalah pemain kelahiran Brazil dan mereka mula mewakili Negeri Sembilan musim lalu dengan masing-masing berjaya menjaringkan keseluruhan lapan serta 12 gol.

Negeri Sembilan akan memulakan cabaran Liga Perdana menentang Johor Darul Ta`zim II (JDT II), di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 29 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 9:05 PM
Digital NSTP Subscribe