TLHT naib juara LHWM musim ini. FOTO Malik Muhamad
TLHT naib juara LHWM musim ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


JUARA bertahan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM), Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) gagal mempertahankan kejuaraan selepas mengakhiri liga di tempat kedua.

Juara menjadi milik pendatang baharu, Hockademy yang mengutip 25 mata manakala TLHT mengumpul 23 mata keseluruhan.

Pada perlawanan terakhir liga di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), Kuala Terengganu hari ini, skuad kendalian Mohd Nasihin Nubli Ibrahim terikat 1-1 dengan pasukan PKS Uniten.

Pelawat yang mengesahkan kedudukan di tangga ketiga liga terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan padang Siti Nur Arfah Mohd Nor pada minit ke-22.

Tuan rumah yang tidak berputus asa terus melakukan asakan sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada babak kedua minit ke-44 hasil jaringan Juliani Mohd Din menerusi pukulan sudut penalti.

Kejayaan di tempat kedua liga membolehkan TLHT meraih hadiah wang tunai RM60,000 manakala PKS Uniten berpuas hati dengan RM40,000.

Sementara itu, Mohd Nasihin akui pemainnya sudah berusaha keras untuk mempertahankan gelaran juara namun terpaksa akur dengan pasukan pendatang baharu itu.

"Kita sasarkan untuk mempertahankan kejuaraan bermula daripada awal liga lagi walaupun barisan pemain berlainan muka berbanding musim lalu, tapi kami tetap mampu memberikan saingan yang terbaik musim ini.

"Biarpun berada di tangga kedua liga, tapi kami tetap berpuas hati.

"Punca kegagalan merangkul kejuaraan apabila kita terlepas peluang ketika tewas kepada pendatang baharu, Hockademy pada pusingan pertama, namun selepas itu kita bangkit semula, tapi kita terpaksa akur dengan kedudukan kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 9:48 PM
Digital NSTP Subscribe