Megat D Shahriman Zaharudin. FOTO NSTP
Megat D Shahriman Zaharudin. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) tidak bersetuju jika Sukan Para Asean dianjurkan pada Hari Raya Aidilfitri dan berharap ia diadakan selepas sambutan perayaan berkenaan.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, memang ada timbul cadangan sebelum ini bahawa temasya berkenaan diadakan pada perayaan Aidilfitri namun beliau menolak usul itu.

“Itu yang saya katakan sembilan negara Asia Tenggara ini perlu duduk berbincang mengenai tarikh baru penganjuran Sukan Para Asean.

“Saya secara lisan menolak cadangan diadakan pada perayaan Aidilfitri. Apa yang lebih baik ialah kita duduk berbincang dan cari tarikh," katanya.

Dalam sidang media selepas Majlis Sepetang MPM Bersama Rakan Sukan dan Media itu, beliau juga mengakui bahawa sudah menghubungi Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) minggu lalu memohon agar diadakan perbincangan dengan segera.

Megat D Shahriman dan Pengurus Wild Rocket Event Management, Safia Jamil pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara MPM dan Wild Rocket Management. FOTO Bernama
Megat D Shahriman dan Pengurus Wild Rocket Event Management, Safia Jamil pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara MPM dan Wild Rocket Management. FOTO Bernama

“Setakat ini belum ada ketetapan bila perbincangan ini akan diadakan. Kita akan cuba mendapatkan tarikh perbincangan ini secepat mungkin.

“Cadangan dari pihak Malaysia kami berharap agar temasya ini diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini kerana ia tidak akan memberi masalah buat tiga atau empat negara yang majoritinya beragama Islam,” katanya.

Megat D Shahriman juga berkata, mereka sentiasa bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagaimana untuk mengekalkan momentum atlet yang bakal mengambil bahagian.

“Mereka meneruskan latihan, ada yang akan mengadakan simulasi dan beraksi di kejohanan luar. Kami mahukan mereka berada pada tahap tertinggi,” katanya.

Ini kali kedua Sukan Para Asean terpaksa ditunda dengan tarikh asal 18 hingga 24 Januari ditukar Penganjur Sukan Para Asean Filipina (PHILAPGOC) dengan alasan masalah kewangan dan logistik.

Selasa lalu Megat D Shariman mengesahkan penganjuran Sukan Para Asean ke-10 itu sekali lagi terpaksa ditangguhkan berikutan penularan wabak koronavirus.

Desas-desus tarikh penganjuran baharu ialah 17 atau 26 Mei iaitu ketika umat Islam menyambut Ramadan dan Syawal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 10:11 PM