Pearly Tan (kiri) dan M Thinaah pamer prestasi terpuji. FOTO File NSTP
Pearly Tan (kiri) dan M Thinaah pamer prestasi terpuji. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS berjaya meraih tempat kedua Kejohanan Badminton Asia dan layak secara merit ke Piala Thomas, pengarah kejurulatihan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann menghamburkan pujian kepada skuad perseorangan lelaki.

Menurutnya, pemain perseorangan lelaki bukan saja berjaya mencapai sasaran yang diinginkan malah menjangkaui harapan yang diletakkan di kejohanan berkenaan.

“Jangkaan dan elemen kejutan mewarnai prestasi terbaik skuad perseorangan lelaki. Prestasi Lee Zii Jia dan Cheam June Wei sangat konsisten,” kata Choong Hann.

Ujarnya, kecemerlangan perseorangan lelaki, dilengkapkan dengan kembalinya juara remaja Asia 2017, Leong Jun Hao ke kejohanan besar selepas bergelut masalah kecederaan sebelum ini.

Paling cemerlang antara ketiga-tiga pemain berkenaan ialah June Wei yang berjaya menumpaskan pemain berpengalaman Korea Selatan, Son Wan Ho (suku akhir), Kenta Nishimoto (separuh akhir) dan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, Jonatan Christie (akhir).

Ditanya mengenai prestasi skuad wanita, Choong Hann mengakui ada perkara yang perlu dilihat kembali dan ada yang memuaskan hatinya terutama berkaitan prestasi beregu wanita.

“Walaupun prestasi Chow Mei Kuan- Lee Meng Yean kurang memberangsangkan namun saya berpuas hati dengan persembahan diberikan Pearly Tan-M Thinaah.

“Kita juga sudah melakukan sedikit pengubahsuaian program latihan untuk skuad beregu wanita dan ia bermula sejak Masters Thailand lagi,” katanya.

Skuad wanita juga berjaya layak secara merit ke Piala Uber selepas mara ke separuh akhir, sebelum tumpas di tangan Jepun 1-3.

Piala Thomas dan Uber akan berlangsung Mei depan di Aarhus, Denmark.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 11:33 PM
Digital NSTP Subscribe