X
SYED Saddiq menyampaikan ucapan pada pelancaran Projek Reben Kuning 2020 di Spacerubix, Puchong hari ini. FOTO Bernama
SYED Saddiq menyampaikan ucapan pada pelancaran Projek Reben Kuning 2020 di Spacerubix, Puchong hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kos kira-kira RM10 juta bagi menaik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil adalah bagi memastikan stadium itu memiliki padang yang lebih berkualiti dan tahan lama.

Katanya, ia juga bagi memastikan padang stadium bersesuaian dengan cuaca di negara ini supaya ia menjadi satu pelaburan yang berbaloi.

“Kita dapat maklum balas daripada pihak industri sukan dan rakan-rakan media bahawa padang kita bagus tapi tidak terbaik jadi ia mesti kena ada standard tinggi dan kita ada berbincang dengan persatuan dan memuktamadkan untuk naik taraf padang.

“Kita nak pastikan stadium yang menjadi ‘padang rumah’ bagi Harimau Malaya dalam keadaan terbaik, tahan lama ...walaupun kos tinggi, pelaburan berbaloi,” katanya kepada selepas melancarkan Projek Reben Kuning bagi edisi kedua di Spacerubix di sini, hari ini.

Projek Reben Kuning dilancarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Oktober 2018 dengan tujuan memberi peluang kedua kepada bekas penghuni penjara dan sekolah pemulihan akhlak terutama daripada golongan belia.

Mengenai atlet e-sukan Muhammad Aiman Hafizi Ahmad yang tidak dapat mewakili negara ke kejohanan antarabangsa ekoran tiada kad pengenalan, Syed Saddiq berkata pihaknya sudah membuat permohonan untuk mendapatkan kerakyatannya.

“Saya pernah bangkitkan dan kena ada desakan lebih kuat kerana tidak adil kita boleh beri kewarganegaraan kepada satu industri sukan walhal individu itu tidak lama menetap di Malaysia tetapi industri (sukan) lain tak boleh dapat. Mereka sepatutnya dapat pengiktirafan sewajarnya,” katanya.

Muhammad Aiman, dari Perak dibesarkan oleh ibu bapa angkat selepas ibu kandungnya yang juga warga Indonesia menghilangkan diri selepas dia dilahirkan.

Permohonan Muhammad Aiman menjadi warganegara Malaysia pernah ditolak sekali dan dimaklumkan permohonan keduanya pula tidak lengkap.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 6:28 PM
Kabinet Malaysia 2020