SOMERVILLE (kiri) mempunyai persamaan raut wajah Aliff Sukri. FOTO Ihsan pembaca
SOMERVILLE (kiri) mempunyai persamaan raut wajah Aliff Sukri. FOTO Ihsan pembaca
Firdaus Hashim


STADIUM Batu Kawan musim ini dijangka penuh bukan saja kerana keinginan penyokong mahu melihat pasukan Pulau Pinang beraksi, malah kehadiran 'Datuk Seri Aliff Syukri' di pintu gawang Harimau Kumbang turut dinantikan peminat negeri itu.

Samuel Somerville yang juga bekas penjaga gol Johor Darul Ta'zim II (JDT II) mencuri perhatian warganet apabila wajahnya dikatakan mirip Aliff yang juga jutawan kosmetik terkenal.

Dia yang sebelum ini tidak dikenali ramai kini mempunyai pengikut di media sosial yang mengikuti rapat perkembangannya sejak wajahnya dikaitkan dengan Aliff bulan lalu.

Malah, difahamkan kehadiran penyokong Pulau Pinang juga turut bertambah dalam beberapa aksi pra musim yang dijalankan sebagai persiapan untuk mengharungi saingan Liga Perdana musim ini.

Sebelum ini, penjaga gol yang mempunyai pertalian darah Malaysia-England berusia 25 tahun itu mencuri perhatian apabila seorang pengguna laman sosial Twitter keliru dengan menyatakan Aliff kini sudah bergelar pemain ptofesional bola sepak.

Ia susulan selepas pengguna laman sosial itu ternampak sekeping foto Somerville ketika

memasuki padang untuk beraksi bagi merebut Piala Edy Rahmayadi 2020 menentang pasukan PSMS Medan bulan lalu.

Foto berkenaan kemudiannya mendapat ribuan ulang kongsi dari netizen dan ia turut mendapat balasan ringkas daripada Somerville dengan memberitahu ia bukan kali pertama dirinya dikaitkan dengan usahawan tempatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 8:28 PM