SITI Asma'a sedia pikul tugas selaku penjaga gol utama TLHT. FOTO Malik Muhamad
SITI Asma'a sedia pikul tugas selaku penjaga gol utama TLHT. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


PENJAGA gol kedua Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Siti Asma'a Ahmad Kamil sedia menggalas tugas sebagai benteng terakhir skuadnya dalam aksi separuh akhir Piala Vivian May Soars bertemu PKS Uniten di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil esok.

Bekas penjaga gol skuad Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu berusia 22 tahun itu bagaimanapun enggan mendabik dada ketika harapan tinggi diberikan kepadanya menggantikan penjaga gol utama, Guzal Bakhavaddin.

Guzal terpaksa pulang ke negaranya, Kazakhstan pada hari ini kerana perlu menjalani sesi pemilihan sebelum diserapkan dalam skuad kebangsaan negara itu.

“Ketiadaan Guzal pasti dirasai kem pasukan, begitupun kami tidak menganggap ketiadaannya sebagai alasan buat kami gagal beraksi dengan baik bertemu PKS Uniten nanti.

“Lagipun penjaga gol Kazakhstan itu turut meninggalkan azimat kepada kami dalam misi untuk mempertahankan Piala Vivian May Soars selepas kecewa di saingan liga," kata pemain kelahiran Teluk Kalong Kemaman itu ketika ditemui selepas tamat pertemuan dengan PKS Uniten dalam aksi liga di Stadium Hoki Batu Buruk semalam.

TLHT gagal mempertahan kejuaraan liga dimenangi tahun lalu apabila ketinggalan dua mata di belakang pendatang baharu, Hockademy KL yang mengumpul 25 mata.

Musim lalu TLHT dan Liaoning Infinite Space HC (LISHC) dari China diumum juara bersama Piala Vivian May Soars selepas aksi final tidak dapat dilangsungkan kerana hujan lebat.

Sementara itu Guzal mengakui sedikit kecewa kerana tidak dapat menyumbang tenaganya dalam aksi penting itu ketika khidmatnya ditagih skuad kendalian Mohd Nasihin Nubli Ibrahim itu.

“Sudah pasti kecewa tapi saya terpaksa pulang untuk menjalani sesi latihan bersama pasukan negara.

“Jika diberi peluang kembali menyarung jersi TLHT pada musim depan, sudah tentu saya gembira untuk datang kembali ke Terengganu, “ katanya.

Selain pertemuan TLHT-PKS Uniten, satu lagi aksi separuh akhir esok akan menemukan pasukan Hockademy KL dan PDRM Blue Warriors.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 9:02 PM
Digital NSTP Subscribe