SHETTY (kanan) berjaya atasi rekod Gowda. FOTO Agensi
SHETTY (kanan) berjaya atasi rekod Gowda. FOTO Agensi
AFP

SEORANG pelari India yang berlari menggunakan dua kerbau di permukaan becak dan dikatakan berjaya mengatasi rekod legenda pecut dunia, Usain Bolt, menyaksikan rekodnya itu berjaya dipecahkan oleh pelari lain pula.

Srinivas Gowda yang berlari sepanjang 142.5 meter (m) dengan catatan 13.62 saat (s) pada 31 Januari lalu - dibantu dua kerbau - melakar rekod baru pada saingan yang dinamakan Kambala di bahagian Selatan wilayah Karnataka.

Ini bermakna, dia berjaya melakukan larian 100m dengan catatan 9.55s, berbanding rekod dunia milik Bolt 9.58s sekali gus menyaksikan pekerja binaan itu menjadi popular dan mendapat tawaran daripada menteri sukan untuk mengambil bahagian dalam sesi percubaan acara trek.

Bagaimanapun menurut media tempatan hari ini, Nishant Shetty bersama dua kerbaunya berjaya mengatasi rekod yang dicipta Gowda apabila melakukan larian sejauh 143m dengan catatan 13.61s. Ia menyamai 9.51s untuk 100m.

Kambala adalah kejohanan tahunan di Karnataka dengan peserta berlari bersama dua kerbau yang diikat dengan tali.

Gowda yang menemui ketua menteri semalam menolak tawaran untuk sesi percubaan acara trek dan mahu memberi tumpuan kepada sukan yang diceburinya itu apabila menyatakan Kambala dan trek adalah dua acara yang berbeza.

“Banyak yang pernah beraksi dalam acara trek mencuba beraksi di Kambala tetapi tidak berjaya. Di Kambala kami berlari menggunakan tumit manakala di trek menggunakan tapak kaki.

“Saya tidak pernah menjangka meraih populariti seperti sekarang. Kredit harus diberikan kepada kerbau saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 10:01 PM