SKUAD lelaki negara muncul naib juara pada Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Ahad lalu. FOTO Ihsan BAM
SKUAD lelaki negara muncul naib juara pada Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Ahad lalu. FOTO Ihsan BAM
Syazwan Msar


PELABURAN yang bakal menguntungkan pasukan badminton negara apabila percaturan menurunkan pemain muda di peringkat antarabangsa sejak dua tahun lalu mula menunjukkan perkembangan positif apabila meraih pelbagai kejayaan sehingga mula dipandang oleh pesaing lain.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya dikritik malah ada yang memandang sinis kejayaan anak buahnya terutama ketika berjaya memperoleh pingat emas pada temasya Sukan Sea di Manila, Filipina, tahun lalu.

Beliau berkata, program dan rencana yang dirancang untuk membangunkan skuad muda badminton berada di landasan tepat seterusnya mampu menaikkan kembali nama Malaysia sebagai gergasi sukan itu.

“Kita perlu percaya dengan proses yang sedang dilaksanakan kepada pemain muda terbabit apabila masing-masing sudah mempunyai sifat melawan dan tidak mudah mengalah apabila bertemu dengan lawan lebih hebat.

“Sekarang ini, usia mereka masih muda namun siapa sangka ada antara pemain yang berada di kedudukan 72 dunia boleh mengalahkan pesaing dalam kalangan 10 terbaik.

“Malah, ada antaranya menganggap pasukan wanita kita adalah belasahan namun lihat sekarang ini mereka mampu mencipta kejayaan atau mengejutkan lawan lebih hebat walaupun tidak diletakkan sebarang sasaran,” katanya pada sidang media hari ini.

Ahad lalu skuad lelaki negara hampir melakar sejarah di Manila, namun terpaksa akur tewas 3-1 di tangan Indonesia dalam aksi final Kejohanan Berpasukan Asia manakala skuad wanita meraih gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 10:48 PM
Digital NSTP Subscribe