X
HEUNG-min (kiri) dilihat memegang tangannya ketika perlawanan bertemu Aston Villa. FOTO Reuters
HEUNG-min (kiri) dilihat memegang tangannya ketika perlawanan bertemu Aston Villa. FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Tottenham Hotspur, Jose Mourinho tidak menjangkakan penyerangnya, Son Heung-min mampu beraksi lagi pada baki saingan musim ini selepas bintang Korea Selatan itu mengalami kecederaan retak tangan kanan ketika bertemu Aston Villa, Ahad lalu.

Kecederaan Heung-min menyaksikan Spurs terus ketandusan pilihan penyerang menjelang perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara bertemu RB Leipzig, Khamis ini.

Heung-min yang sudah menjaringkan 14 gol di saingan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara musim ini, akan menjalani pembedahan dan tidak diketahui bila dia akan pulih sepenuhnya.

Mourinho berkata, kenyataan Spurs bahawa Heung-min dijangka tidak dapat beraksi untuk beberapa minggu, adalah sangat optimis.

“Saya tidak akan berharap kepadanya lagi musim ini. Jika Son dapat beraksi dua atau tiga perlawanan, bermakna dia (pegawai media Spurs) begitu optimis tetapi saya tidak lagi meletakkan harapan kepada Son,” katanya.

Seorang lagi penyerang Spurs, Harry Kane diketepikan sehingga April selepas mengalami kecederaan hamstring dan Mourinho melabelkan ketiadaan Heung-min seperti memanjat tangga yang kemudian runtuh tanpa amaran.

“Tiada penyerang, tiada pemain baru, tiada pemain, tiada apa-apa. Yang dapat membantu kami ketika ini adalah penyokong setia Spurs,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 11:37 PM
Digital NSTP Subscribe