NICHOLAS SWIRAD. FOTO FB FA SELANGOR
NICHOLAS SWIRAD. FOTO FB FA SELANGOR
Firdaus Hashim


PENGENDALI Selangor, B Sathianathan yakin barisan pertahanannya berupaya tampil lebih kukuh berbanding musim lalu.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, aksi pramusim yang diharungi termasuk beraksi pada Piala Cabaran Asia 2020 Januari lalu menyaksikan benteng skuad Red Giants semakin kebal.

“Ya pertahanan kita nampak semakin baik dan saya lihat ia suatu petanda menjelang saingan liga musim ini.

“Musim lalu salah satu kelemahan kita di bahagian pertahanan dan kali ini pemain dah semakin serasi. Kita dapat lihat ketika pertandingan Piala Cabaran Asia kita tak mudah dibolosi biarpun menentang lawan kuat dari Thailand dan Indonesia.

“Malah, gandingan Taylor Regan dan pemain lain makin kukuh dan saya harap masalah pertahanan seperti musim lalu dapat diatasi,” katanya yang mengakui berpuas hati dengan prestasi pemain sepanjang persiapan pramusim ini.

Musim lalu Selangor mencatat jumlah bolos paling banyak antara lima pasukan teratas Liga Super dengan dibolosi 35 gol di tangga ketiga liga.

Menyedari kelemahan di posisi itu, Selangor membawa beberapa tonggak baharu musim ini termasuk mengumumkan kemasukan pemain kelahiran Manchester, England, Nicholas Swirad bagi memperkuatkan benteng pertahanan pasukan.

Pemain berdarah kacukan Inggeris-Melayu itu juga sebelum ini pernah beraksi dengan dua pasukan Liga Super iaitu PKNS FC dan Melaka United.

Selain itu, seorang lagi pemain pertahanan dari Sarawak, Rodney Celvin turut diikat skuad Merah Kuning yang sudah bersedia untuk mencabar mahkota kejuaraan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 6:01 AM
Digital NSTP Subscribe