GELAGAT pemain Atletico meraikan kemenangan selepas tamat  perlawanan. FOTO  AFP
GELAGAT pemain Atletico meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp menjangkakan atmosfera jauh berbeza di Anfield mampu menebus kembali kehampaan pasukannya yang tewas 0-1 kepada Atletico Madrid dalam saingan peringkat pertama 16 terakhir Liga Juara Juara di ibu kota Sepanyol awal pagi tadi.

Jaringan awal Saul Niguez pada minit keempat dari jarak dekat mencetuskan kekalahan kedua Liverpool musim ini dalam semua kejohanan bersama skuad senior.

Juara bertahan itu dikecewakan dengan taktik negatif tuan rumah dan prestasi pengadil dari Poland, Szymon Marciniak selain gelagat pengendali Atletico, Diego Simeone menyebabkan Wanda Metropolitano bingit.

"Wow, itu amat bertenaga!" kata Klopp ketika ditanya wartawan mengenai gelagat Simeone di tepi padang selepas tamat perlawanan.

"Saya tak fikir akan melakukan perkara sama (pada peringkat kedua). Saya harap dapat fokus lebih kepada perlawanan. Pasukan kami lebih bersedia. Selamat datang ke Anfield! Segalanya belum berakhir."

Klopp menggantikan Sadio Mane ketika pemain Senegal itu berdepan risiko dibuang padang susulan protes pemain Atletico yang meminta pengadil melayangkan kad kuning kedua sejurus sebelum rehat.

"Dia menjadi sasaran, nampak jelas,” kata Klopp. Sadio beraksi sangat baik pada babak pertama dan pemain lawan hanya mahukan dia menerima kad kuning.

"Bagi saya kami tidak kalah, ia hanya babak pertama dan keputusannya 1-0, itu sahaja. Tetapi anda perlu lebih kuat seperti pengadil dalam atmosfera ini, sudah tentu tidak mudah."

Pemain Liverpool juga ‘terusik’ dengan gelagat Simeone dan pemainnya yang meraikan kemenangan selepas berdepan prestasi tidak konsisten dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

"Cara mereka meraikan seperti mereka sudah menang saingan ini, jadi kita tunggu,” kata pertahanan kiri, Andy Robertson.

"Kami ada beberapa minggu lagi. Fokus Liga Perdana dahulu, selepas itu kami akan menunggu mereka di Anfield. Kami tahu penyokong setia bersama kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 7:33 AM