REAKSI Haaland selepas menjaringkan gol Dortmund. FOTO Reuters
REAKSI Haaland selepas menjaringkan gol Dortmund. FOTO Reuters
Agensi

PEMAIN tengah Borussia Dortmund, Axel Witsel tidak meragui Erling Haaland akan menjadi superstar selepas terus konsisten mempamerkan magis bersama kelab, awal pagi tadi.

Haaland, 19, menjaringkan dua gol membantu Dortmund menewaskan Paris Saint-Germain 2-1 pada peringkat pertama saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Penyerang muda itu kini menjaringkan 11 gol dalam hanya tujuh perlawanan sejak tiba di Dortmund dari Salzburg, Januari lalu.

Witsel percaya pemain antarabangsa Norway itu bakal mencapai kejayaan lebih gemilang dalam kariernya.

"Dia penjaring gol, baru berusia19 tahun dan berbakat besar. Saya fikir dia akan menjadi superstar masa depan,” katanya kepada RMC Sport.

"Dia mempunyai banyak masa lagi untuk peningkatan. Kami berharap dapat menyimpannya lebih lama tetapi sudah pasti dia akan menjadi tumpuan kelab-kelab besar.”

Haaland meledak gawang PSG pada kedua-dua babak dengan Neymar menjaringkan gol buat PSG. PSG menerima kunjungan Dortmund pada peringkat kedua 11 Mac depan.

Witsel turut memuji persembahan Dortmund di Signal Iduna Park dengan berkata: "Ya betul, memang permainan serba lengkap. Kami mengharungi perlawanan yang hebat dan sangat berorganisasi. Dengan adanya Neymar dan [Kylian] Mbappe mereka boleh menjadikan keputusan berbeza, jadi kami tidak boleh memberikan mereka banyak ruang.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 2:36 PM
Kabinet Malaysia 2020