GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

PEMAIN bola sepak amatur dikenakan hukuman gantung lima tahun dalam aksi liga setempat di timur Perancis selepas perbuatannya menggigit kemaluan pemain lawan selepas perlawanan tamat.

Kejadian berkenaan berlaku sebaik berakhirnya perlawanan divisyen dua antara Terville dan Soetrich dalam saingan liga setempat 17 November lalu.

Menurut laman web akhbar tempatan di Lorraine, pemain antara kedua-dua pasukan memulakan pergaduhan, sebelum seorang pemain Terville datang untuk meleraikan pertelingkahan itu.

Bagaimanapun, salah seorang pemain Soetrich memberi reaksi dengan menggigit kemaluan pemain yang cuba meredakan pergaduhan itu.

Mangsa menerima 10 jahitan dan terpaksa mengambil cuti sakit selama empat hari.

“Kejadian itu berlaku selepas perlawanan, di kawasan parkir kereta. Ia bermula dengan perang mulut sebelum melarat menjadi teruk,” kata wakil daerah bola sepak Mosellan, Emmanuel Saling.

Saling berkata, disebabkan kes berkenaan sangat luar biasa, jawatankuasa disiplin terpaksa memanggil saksi yang pakar sebelum membuat keputusan menggantung pemain Soetrich itu selama lima tahun.

Pemain Terville yang mengalami kecederaan itu digantung selama enam bulan.

Perlawanan berkenaan berakhir dengan kedua pasukan terikat 1-1 dengan Terville meraih mata pertamanya untuk musim berkenaan namun mereka dikenakan hukuman dipotong dua mata serta denda sebanyak 200 euro (RM899).

Hukuman berkenaan adalah disebabkan tuan rumah gagal menyediakan kawalan keselamatan yang ketat dan pegawai kelab kurang memberi kerjasama selepas pergaduhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 9:14 PM