LIRIDON pemain naturalisasi terbaru skuad kebangsaan mengikut jejak langkah Sumareh . FOTO NSTP
LIRIDON pemain naturalisasi terbaru skuad kebangsaan mengikut jejak langkah Sumareh . FOTO NSTP
Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tidak pernah menetapkan bilangan angka dalam menaturalisasikan pemain luar negara bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pemain tempatan tidak perlu panik atau bimbang dengan ‘cakap-cakap kosong’ yang mengaitkan skuad kebangsaan bakal dibarisi oleh 11 pemain naturalisasi yang diberikan taraf kerakyatan.

Sebaliknya, FAM tetap akan mengutamakan pemain tempatan dan pemain yang memiliki darah kacukan sebagai tonggak penting dalam mengibar cabaran Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Jelasnya, pemilihan pemain naturalisasi yang diputuskan oleh Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM hanya tertumpu kepada posisi-posisi yang dilihat lemah terutamanya di jentera serangan.

“Tak ada angka dan memang kita pun tak nak tukar satu pasukan. Tumpuan kita hanya pada posisi yang di mana kita rasa kelemahan situ saja.

“Tiada kouta atau ‘limit’ atau apa-apa (angka). Tak pernah pun dibincangkan dalam jawatankuasa itu (Jawatankuasa Program Naturalisasi) membincangkan suatu nombor sama ada kita nak lima pemain atau 10 pemain memang tak pernah bincang.

“Kita hanya membincangkan adakah pemain ini dapat menyumbang kepada pasukan kebangsaan atau tidak. Contohnya seperti Michael Ijezie apabila kita lihat kualitinya sama macam pemain tempatan, jadi kita putuskan supaya tidak mengambilnya.

“Biarpun ketika itu memang terdesak nak pakai penyerang tapi dia (Ijezie) tak menepati kehendak baik kita beri keutamaan buat penyerang tempatan saja,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamadou Sumareh muncul sejarah sebagai pemain naturalisasi negara yang pertama pada 2018 sebelum Liridon Krasniqi mengikut jejaknya baru-baru ini.

Kedua-dua pemain itu diberi taraf kewarganegaraan selepas menetap selama lima tahun di negara ini dan layak menyarung jersi skuad kebangsaan dengan Sumerh sudah meraih 19 penampilan manakala Liridon dijangka membuat kemunculan pertama pada 26 Mac ini menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai.

“Kalau mungkin 2021 atau 2022 nanti kita ada 10 pilihan pemain termasuklah Lee Tuck, Cabrera, Kipre Tchetche atau sesiapapun, kalau ada 11 pemain tak bermakna kita ambil semua tetapi tengok pada keperluan pasukan.

“Walau macam mana pun, ini adalah pasukan Malaysia dan pemain tempatan diberi keutamaan dan hanya kelemahan akan dipertimbangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 9:49 PM
Digital NSTP Subscribe