PAVOLETTI (kiri) terpaksa berehat selama enam bulan selepas mengalami kecederaan berulang akibat bergurau. FOTO REUTERS
PAVOLETTI (kiri) terpaksa berehat selama enam bulan selepas mengalami kecederaan berulang akibat bergurau. FOTO REUTERS
Reuters

PENYERANG Cagliari, Leonardo Pavoletti terpaksa berehat lagi enam bulan apabila mengalami kecederaan berulang di lutut kiri ketika bergurau bersama rakan sepasukan di luar sebuah restoran.

Kelab berkenaan berkata, pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini sudah melakukan pembedahan di Innsbruck, Austria, selepas mengalami kecederaan ligeman lutut awal bulan ini.

Pavoletti kali pertama mengalami kecederaan itu pada aksi pembukaan musim menentang Brescia, di mana dia terpaksa dikeluarkan pada rehat separuh masa pertama.

Bagaimanapun, ketika dia semakin hampir untuk kembali beraksi, kecederaan berkenaan kembali berulang.

“Kami keluar dari restoran dan mula bergurau dengan menolak antara satu sama lain.

“Tiba-tiba saya terbaring di bawah tanpa mengetahui puncanya. Nasib saya kurang baik,” katanya dalam sidang media minggu lalu sekali gus menafikan laporan media bahawa dia terbabit dalam pergaduhan.

Pavoletti, yang menjaringkan 29 gol dalam 69 penampilan, sekarang terpaksa berehat sehingga akhir musim.

Cagliari dalam satu kenyataan mengesahkan Pavoletti berada di bawah pemantauan di hospital untuk beberapa hari dan akan kembali melakukan proses pemulihan bermula minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 10:48 PM
Digital NSTP Subscribe