ANWAR (tiga dari kiri) berharap pemain profesional negara, Gavin dapat beraksi di Kejohanan Terbuka Bandar Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Kejohanan Golf Terbuka Malaysia. FOTO Winning Matters
ANWAR (tiga dari kiri) berharap pemain profesional negara, Gavin dapat beraksi di Kejohanan Terbuka Bandar Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Kejohanan Golf Terbuka Malaysia. FOTO Winning Matters
Saiful Affendy Sapran


PERSATUAN Golf Malaysia (PGM) masih menunggu jawapan pemain utama negara, Gavin Green sama ada dapat beraksi di Kejohanan Terbuka Bandar Malaysia bermula 5 hingga 8 Mac ini atau sebaliknya.

Gavin ketika ini mempunyai komitmen beraksi di Jelajah Eropah dan tarikh 5 hingga 8 Mac itu bertembung dengan Masters Qatar, salah satu kejohanan yang mungkin menyaksikan penyertaan Gavin.

Presiden PGM, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor bagaimanapun masih berharap pemain profesional negara itu dapat beraksi di Kejohanan Terbuka Bandar Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Kejohanan Golf Terbuka Malaysia.

“Kami ada menjemput Gavin untuk beraksi kerana dia dilihat satu-satunya harapan Malaysia. Tapi saya difahamkan tarikh itu bertembung dengan Qatar Masters.

“Jadi dia masih belum mengesahkan penyertaannya dan kami masih menunggu jawapan daripadanya,” katanya.

Mohd Anwar berkata demikian pada sidang media semalam selepas memperkenalkan barisan penaja dengan Bandar Malaysia tampil selaku penaja utama.

Kejohanan itu tampil semula pada tahun ini selepas empat tahun menyepi berikutan berdepan dengan masalah tajaan.

Edisi kali ini menyaksikan tawaran wang tunai keseluruhan berjumlah AS$1 juta (RM4.1 juta) dan hanya berstatus Jelajah Asia dengan kerjasama Organisasi Jelajah Golf Jepun (JGTO).

Mengulas mengenainya, Mohd Anwar berkata, fokus utama kejohanan itu kini adalah untuk memberi lebih banyak peluang kepada pemain Asia beraksi.

“Mengambil kira jumlah wang kemenangan itu, kami kini memfokuskan kepada peserta Jelajah Asia. Kami berharap pada tahun-tahun seterusnya ia terus membuka peluang kepada pemain di rantau Asia.

“Walaupun tidak berstatus Jelajah Eropah lagi, kami percaya pemain dari Jelajah Asia dan JGTO masih mampu menarik kehadiran penonton,” katanya.

Kejohanan itu akan berlangsung di Kota Permai Golf & Country Club.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 12:13 AM