X
NUR Akmal
NUR Akmal
Firdaus Hashim


SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2020 bakal menyaksikan sejarah baharu tercipta apabila dua pengadil wanita tempatan disahkan akan mengendalikan perlawanan liga tempatan musim ini.

Ia disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid yang mengakui dua wanita bertuah itu bakal mengendalikan saingan Liga Super dan Liga Perdana.

Menurutnya, seorang daripada pengadil itu akan menjadi pengadil utama manakala seorang lagi bertindak sebagai pembantu pengadil.

“Pada tahun ini juga untuk persiapan pengadil Liga M ini dah banyak kursus kita anjurkan bermula dari November dan terakhir kita adakan minggu lalu.

“Buat kali pertama tahun ini ada dua pengadil iaitu satu pengadil dan satu pembantu pengadil membabitkan wanita akan terbabit sama ada dalam Liga Perdana atau Liga Super.

“Itu satu usaha FAM untuk mengenengahkan pengadil wanita tempatan. Selain itu, kita ada 30 pengadil baharu dan insya-Allah kita akan ketengahkan mereka di Liga Super dan Perdana tahun ini,” katanya ketika ditemui pada Seminar Pengadilan dan Undang-Undang Bola Sepak di Wisma FAM di sini, semalam.

Difahamkan, ketika ini badan induk itu menilai empat calon untuk memilih dua terbaik iaitu Rita Ghani, Nur Akmal Anuar, Munirah Ha Ali dan Nurul Ain Izzaty Zainal.

Sementara itu, Dali berkata, pihaknya sudah memilih tiga pengadil tempatan terbaik bagi mengadili aksi pembuka tirai Liga M membabitkan perebutan Piala Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat depan.

“Untuk Piala Sumbangsih kita dah keluarkan senarai pengadil tapi saya tak boleh sebut nama.

“ Memang pengadil berkualiti dan bertaraf Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) yang akan mengendalikan perlawanan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 10:39 AM
Kabinet Malaysia 2020