Pengurus Manchester City, Pep Guardiola. FOTO Reuters
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola. FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola menyelar tindakan presiden bekas kelabnya, Barcelona berhubung kenyataan yang dibuat berikutan penggantungan dua tahun saingan Eropah oleh UEFA terhadap juara Inggeris itu.

City membuat rayuan kepada badan pentadbiran UEFA, selepas kelab Liga Perdana itu dikenakan hukuman selepas melanggar peraturan kewangan (FFP).

Di sidang media pada Selasa lalu, Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu mengeluarkan kenyataan : “Saya mahu berterima kasih kepada UEFA berhubung FFP, mereka melakukan tugas yang hebat sejak beberapa tahun lalu.

“Kami melakukan siasatan secara kerap dan menyokong UEFA dalam semua perkara berkaitan bola sepak.”

Ditanya mengenai kenyataan selepas City mencatat kemenangang 2-0 ke atas West Ham United dalam saingan Liga Perdana, Guardiola yang juga pemenang kejuaraan bersama Barca sebagai pemain dan jurulatih, berkata : “Jika mereka gembira apabila kami menerima hukuman penggantungan, saya kata kepada presiden Barcelona itu, benarkan kami membuat rayuan.

“Orang ramai (di City) ketika ini percaya apa yang sudah mereka lakukan jadi itu adalah apa yang kami akan lakukan. Kami akan mengemukakan rayuan dan mungkin ia berlaku, tapi jangan cakap banyak, Barcelona.

“Itu adalah nasihat saya kerana semua orang terbabit dalam situasi yang jarang berlaku. Kami akan merayu dan diharapkan pada masa depan kami dapat beraksi dalam Liga Juara-Juara berdepan Barcelona.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 11:37 AM
Digital NSTP Subscribe