Lewis Hamilton mengambil bahagian dalam ujian pra musim di Barcelona. FOTO AFP
Lewis Hamilton mengambil bahagian dalam ujian pra musim di Barcelona. FOTO AFP
Reuters

JUARA dunia enam kali Formula Satu, Lewis Hamilton mencatat pusingan terpantas ketika Mercedes menguasai hari pertama ujian pra musim di Sepanyol sementara pelumba Ferrari, Sebastian Vettel tidak dapat beraksi kerana mengalami kesakitan.

Hamilton melakukan 94 pusingan di Litar de Catalunya Barcelona dalam muatan C2 dalam sesi petang yang cerah, tidak berdepan masalah selepas rakan sepasukannya Valtteri Bottas melengkapkan 79 pusingan pada sebelah pagi.

Masa terpantas pelumba Britain itu adalah satu minit 16.976 saat berbanding masa terbaik 1:18.161 dilakukan Vettel pada hari pertama perlumbaan ujian tahun lalu.

Hamilton yang berharap untuk menyamai rekod legenda Ferrari Michael Schumacher iaitu tujuh kejuaraan pada tahun ini, mengatasi 0.337 lebih pantas dari Bottas.

Pelumba Racing Point dari Mexico, Sergio Perez adalah antara terbaik keseluruhan, dengan lukisan kereta baharu pasukannya menarik perhatian seperti jentera Mercedes musim lalu.

Leclerc hanya menduduki tempat ke 11 terpantas tetapi melakukannya menerusi 132 pusingan.

Pelumba Red Bull, Max Verstappen di tempat keempat dan mencatat antara pusingan terbanyak iaitu 168 dengan pemandu McLaren, Carlos Sainz melakukan 161 pusingan dalam hari tanpa bendera merah dalam perlumbaan dan semua 10 pasukan memanfaatkan kelebihan ujian itu.

Juara empat kali, Vettel dijadualkan memandu jentera baharu Ferrari SF1000 buat pertama kali, dengan rakan sepasukannya Charles Leclerc harus menunggu sehingga esok namun perancangan itu berubah selepas warga Jerman itu dilaporkan tidak sihat.

“Seb tidak berapa sihat pagi ini jadi Charles mengambil alih tugas pemandu pada hari ini,” menurut jurucakap pasukan Itali itu.

Ujian itu adalah peluang pertama untuk melihat semua kenderaan baharu sama-sama berada di litar. Vettel dilihat menyertai pemandu lain dalam sesi fotografi di litar berhampiran pit sejurus sebelum sesi bermula sebelum meninggalkan litar berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 12:41 PM
Digital NSTP Subscribe