X
MARQUEZ tandatangani kontrak baru untuk terus kekal bersama Honda. FOTO AFP
MARQUEZ tandatangani kontrak baru untuk terus kekal bersama Honda. FOTO AFP
AFP

JUARA dunia MotoGP, Marc Marquez menyambung kontrak bersama Honda sehingga hujung 2024.

“Honda Racing berbesar hati untuk mengumumkan juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez menyambung kontrak bagi tempoh empat tahun dan akan terus berlumba dengan pasukan ini sehingga Disember 2024,” jelas pasukan berkenaan dalam satu kenyataan.

Marquez, 27, berkata, dia berasa bangga dapat terus kekal dengan pasukan berkenaan yang memberi peluang kepadanya pada awal karier MotoGP.

“Honda memberi saya peluang untuk beraksi dalam kelas MotoGP bermula pada 2013.

“Sejak tahun pertama kami sudah meraih kejayaan bersama dan saya sangat gembira untuk meneruskan serta menjadi sebahagian daripada keluarga Honda,” katanya.

Dia menyambung kontrak baru itu sebulan selepas adiknya, Alex menyertai pasukan berkenaan dan juara Moto2 itu menggantikan Jorge Lorenzo.

Adik-beradik Marquez itu akan turun ke litar musim ini minggu depan untuk ujian terakhir pramusim di Qatar sebelum memulakan perlumbaan sulung 2020 di Litar Antarabangsa Losail pada 8 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 8:18 PM