AB Ghani gembira dengan perkembangan terbaharu itu yang dilihat sebagai peluang terbaik untuk pasukan tempatan bersaing di pentas antarabangsa. FOTO NSTP/AZHAR RAMLI.
AB Ghani gembira dengan perkembangan terbaharu itu yang dilihat sebagai peluang terbaik untuk pasukan tempatan bersaing di pentas antarabangsa. FOTO NSTP/AZHAR RAMLI.
Firdaus Hashim


SELEPAS tidak beraksi di saingan Piala AFC selama dua musim, wakil kelab dari Malaysia kini berpeluang mengulangi pencapaian jejak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menjuarai pertandingan kedua berprestij kelab-kelab Asia 2015 lalu.

Ia selepas perubahan format pertandingan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang memberi penambahan slot automatik ke peringkat kumpulan Piala AFC itu.

Menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini, dua slot Piala AFC itu akan diberikan kepada pasukan yang berjaya menjuarai Piala FA musim ini serta pasukan yang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua liga.

Bagaimanapun, slot automatik ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) tetap kekal menjadi milik juara Liga Super sekaligus menyaksikan tiga wakil negara akan beraksi di pentas Asia dengan satu di ACL dan dua beraksi di Piala AFC.

Sebelum ini, Malaysia hanya meraih satu slot automatik ke ACL dan satu slot pusingan playoff ACL sejak musim lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, MFL selaku pengendali Liga Malaysia (Liga-M) gembira dengan perkembangan terbaharu itu yang dilihat sebagai peluang terbaik untuk pasukan tempatan bersaing di pentas antarabangsa.

“Kita sudah dimaklumkan mengenai penambahan slot ini namun masih menunggu surat rasmi daripada AFC. Kita sudah membuat keputusan awal berhubung perkara ini supaya dapat memberikan penjelasan awal kepada semua pasukan Liga-M.

“Apa yang pasti, tambahan slot ke Piala AFC ini akan menyuntik semangat buat semua pasukan memberi saingan lebih kompetitif bagi merebut slot berkenaan,” katanya.

Sementara itu, MFL turut membuat keputusan untuk memansuhkan manual syarat pemain naturalisasi selepas mendapati ianya tidak lagi sesuai untuk dikuatkuasa atau dipraktikan berdasarkan perkembangan semasa dalam bola sepak tempatan.

Justeru, mana-mana pemain asing yang sudah diiktiraf kewarganegaraannya oleh pihak berwajib dan memiliki kelayakan untuk mewakili pasukan negara, pemain itu boleh diiktiraf mewakili kelab atau pasukan dalam liga tempatan dengan status sebagai pemain tempatan.

Dalam perkembangan lain, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan pasukan-pasukan yang bermain Liga M3 tidak dibenarkan untuk menjadi pasukan 'feeder club' kepada mana-mana pasukan yang bertanding dalam Liga Perdana atau Liga Super.

Sebagai rekod, empat pasukan yang memegang status sebagai 'feeder club' pada musim ini adalah Johor Darul Ta’zim II, Perak II, Terengganu FC II dan Selangor 2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 11:47 PM
Digital NSTP Subscribe