YUSOFF menegaskan setiap pasukan liga berkenaan perlu memikirkan kantung kewangan masing-masing terlebih dahulu sebelum mengambil import. FOTO NSTP
YUSOFF menegaskan setiap pasukan liga berkenaan perlu memikirkan kantung kewangan masing-masing terlebih dahulu sebelum mengambil import. FOTO NSTP
Syazwan Msar


‘UKUR baju badan sendiri’, Itu peringatan kepada pasukan Liga M3 yang mahu mengambil pemain import supaya tidak terlalu ghairah berbuat demikian hingga menimbulkan pelbagai masalah termasuk tunggakan gaji.

Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, kebenaran mengambil pemain empat import termasuk dua berusia antara 18 hingga 20 tahun perlu memikirkan kantung kewangan masing-masing terlebih dahulu sebelum mengambil mereka.

Perkara terbabit penting bagi memastikan pasukan Liga M3 yang rata-rata tidak mempunyai sumber dana kewangan kukuh terjerat dengan masalah kewangan sekali gus terbeban dengan tunggakan gaji.

“Perkara paling penting adalah jangan mudah terpedaya dengan janji manis penaja yang akan membayar gaji pemain import terbabit namun sebaliknya berlaku apabila akhirnya pengurusan pasukan pula terpaksa menanggung akibat daripada kegagalan berbuat demikian.

“Kita mahu menaikkan lagi status Liga M3 namun pada masa sama perlu melihat beberapa aspek termasuk kawalan pembelanjaan secara berhemah supaya tidak membebani pasukan.

“Saya melihat ada beberapa pasukan sudah mula mengintai pemain import namun ia perlu sejajar dengan dana yang ada atau tidak boros berbelanja,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Liga M3 atau dulunya dikenali sebagai Liga FAM bakal mengharungi satu lagi transformasi peranannya sebagai ‘tapak semaian’ pemain naturalisasi skuad Harimau Malaya selain penambahan penyertaan pasukan mulai musim 2020.

Liga amatur divisyen tiga kebangsaan ini juga akan dipersiapkan ke arah dinaiktarafkan kepada separuh profesional (semi-pro) pada musim 2021 selain antara dua atau empat pasukannya bakal disarankan beraksi dalam Piala Cabaran (tidak layak ke Piala Malaysia).

Malah program pengenalan program naturalisasi turut diperkenalkan dengan membenar setiap pasukan menambah kuota pemain import kepada dua lagi tetapi hanya yang berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Sebanyak 20 pasukan akan beraksi dalam M3 yang dibahagikan kepada dua kumpulan berbanding 14 pada musim lalu.

Hanya 12 yang terbaik atau rekod kewangan meyakinkan, boleh kekal dalam M3 musim 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 12:37 AM
Digital NSTP Subscribe