AKMAL meluahkan supaya pemain tidak memandang enteng kehadiran dirinya dan dua lagi pengadil wanita yang dilantik FAM musim ini.
AKMAL meluahkan supaya pemain tidak memandang enteng kehadiran dirinya dan dua lagi pengadil wanita yang dilantik FAM musim ini.
Firdaus Hashim


“WALAUPUN saya perempuan, saya takkan tunduk dengan tekanan sebaliknya akan bertindak mengikut peraturan pertandingan.”

Itu peringatan buat mana-mana pemain dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang diluahkan pengadil wanita negara, Nur Akmal Anuar supaya tidak memandang enteng kehadiran dirinya dan dua lagi pengadil wanita yang dilantik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) musim ini.

Akmal, 32, serta dua pegawai perlawanan lain iaitu Rita Gani (43 tahun) dan Nurul Ain Izatty Zainal (22 tahun) melakar sejarah baharu bola sepak negara apabila bakal mengendalikan perlawanan-perlawanan Liga Super dan Liga Perdana.

Dia yang mula menceburi bidang pengadilan pada 2011 pernah mengadili beberapa aksi bertaraf antarabangsa seperti Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Qatar tahun lalu mengakui peluang yang diberikan oleh FAM ini cukup mencabar terutama apabila berdepan tekanan daripada pemain import.

“Saya dah biasa jadi pengadil untuk perlawanan lelaki tapi lebih kepada aksi persahabatan atau kejohanan-kejohanan biasa.

“Tapi bila jadi pengadil Liga-M ini saya perlu bersiap sedia dari semua segi termasuk kritikan dan kecaman atau tekanan daripada pemain import.

“Tapi dalam bola sepak kita ada peraturan dan saya akan cuba yang terbaik apabila mengendalikan perlawanan nanti.

“Perasaan takut tak ada tetapi gementar itu adalah sikit kerana ini liga (Liga-M) yang besar dan ramai penyokong. Kalau pengadil lelaki pun selalu kena kritikan, inikan pula perempuan, tapi saya dah bersedia untuk hadapinya,” katanya yang menjadi pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sejak 2015.

Selain kecemerlangan Akmal, rakannya Rita juga adalah pengadil FIFA dan pernah dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik Wanita Asia 2014 dan berpengalaman luas mengendalikan perlawanan antarabangsa antaranya Piala Dunia Wanita 2015 di Kanada dan Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

Nurul Ain pula menceburkan diri dalam bidang kepengadilan ini pada usia yang cukup muda dan pernah diangkat sebagai Pengadil Wanita Berpotensi 2017.

Sementara itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, langkah untuk memperkenalkan pengadil wanita di pentas tertinggi saingan bola sepak negara ini adalah bagi menambah minat golongan wanita menceburi bidang kepengadilan.

“Jumlah pengadil wanita di negara ini masih dalam kelompok yang boleh kita anggap agak kecil. Dengan aksi mereka di pentas Liga Super dan Liga Perdana nanti, saya pasti ia akan membuka mata banyak pihak dan pada masa sama menarik minat lebih ramai golongan wanita untuk menjadi pengadil pada masa akan datang.

“Ketiga-tiga mereka ini sudah mengadili perlawanan membabitkan pasukan wanita sama ada di pentas antarabangsa bagi Rita dan Nur Akmal adalah Pengadil FIFA dan Penolong Pengadil FIFA serta Nurul Ain yang cukup berpengalaman mengendalikan perlawanan Piala Tun Sharifah Rodziah setiap tahun.

“Malah, mereka juga sudah biasa mengendalikan perlawanan pasukan lelaki iaitu Piala Presiden dan Piala Belia beberapa musim kebelakangan ini.

“Jadi tahun 2020 ini bakal menjadi lonjakan buat ketiga-tiga mereka ini untuk mencabar kemampuan dengan mengendalikan perlawanan di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya berkeyakinan tinggi bahawa Rita, Nurul Ain dan Nur Akmal mampu menyahut cabaran ini dan akan melaksanakan tugas yang diberi nanti dengan sebaik mungkin,” kata Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 1:11 AM
Digital NSTP Subscribe