Anthony Martial (kiri) menjaringkan gol penyamaan buat Man United. FOTO AFP
Anthony Martial (kiri) menjaringkan gol penyamaan buat Man United. FOTO AFP
AFP

ANTHONY Martial menjaring gol penting di tempat lawan ketika Manchester United seri 1-1 menentang Club Brugge di Belgium pada aksi pusingan pertama kelompok 32 terakhir Liga Europa, pagi ini.

Penyerang Nigeria, Emmanuel Dennis meledak jaringan awal bagi memberikan pendahulu liga Belgium itu kelebihan pada minit ke-15 permainan di Jan Breydelstadion.

Martial bagaimanapun menyamakan kedudukan buat United sebelum tamat babak pertama menerusi larian dan penyudah baik selepas kesilapan pertahanan, Brandon Mechele.

“Ia perlawanan sukar menentang pasukan yang memang teratur, dalam keadaan yang susah. Saya tidak rasa ia adalah satu daripada perlawanan terbaik sesiapa pernah saksikan,” kata bos United, Ole Gunnar Solskjaer.

“Sukar untuk memberi tumpuan tetapi keadaan padang dan bola menjadikan ia sukar.

“Kami mendapat gol tempat lawan, kami seri dan kami akan berada di laman sendiri minggu depan. Saya harap kami akan tamatkan tugasan ini.”

Solskjaer melakukan enam pertukaran kepada skuad yang menewaskan Chelsea Isnin lalu dengan Romero diberikan permulaan sekali lagi di Eropah.

Sementara Victor Lindelof kembali daripada sakit untuk bergandingan dalam rangkaian tiga pertahanan bersama Harry Maguire dan Luke Shaw.

Pemain yang baharu ditandatangani, Odion Ighalo sekali lagi bermula di bangku simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 8:37 AM