Roger Federer. FOTO File AFP
Roger Federer. FOTO File AFP
AFP

ROGER Federer selamat menjalani pembedahan kecederaan lutut yang dialami sekian lama dan berkata dia akan berehat sehingga selesai Terbuka Perancis.

Juara Grand Slam 20 kali itu mendedahkan menerusi akaun Facebooknya selepas menjalani pembedahan di Switzerland Rabu lalu dan mungkin terlepas beberapa siri kejohanan termasuk Terbuka Perancis yang dijadualkan pada 24 Mei hingga 7 Jun depan.

“Keputusannya, saya akan terlepas Dubai, Indian Wells, Bogota, Miami dan Terbuka Perancis,” katanya.

Jaguh tenis berusia 38 tahun itu menjelaskan dia sebolehnya mahu mengelak daripada melakukan pembedahan namun kecederaan di lutut kanan seperti tidak dapat dibendung lagi.

Sasarannya kini kembali ke musim gelanggang rumput dan beberapa kejohanan Wimbledon selepas mara ke final pada 2019 di mana dia memenangi dua mata kejohanan sebelum tewas dalam final epik kepada Novak Djokovic.

“Masalah lutut kanan sering mengganggu saya sejak kebelakangan ini,” tambah pemain nombor tiga dunia yang mara ke peringkat separuh akhir Roland Garros tahun lalu.

“Saya harap ia akan pulih, tapi selepas pemeriksaan dan perbincangan dengan pasukan saya, saya memutuskan untuk melakukan pembedahan di Switzerland semalam."

“Selepas pembedahan itu doktor mengesahkan ia adalah langkah yang tepat perlu dilakukan dan yakin kecederaan itu akan pulih sepenuhnya.

“Saya tak sabar menunggu untuk kembali bermain semula tidak lama lagi, jumpa anda di gelanggang.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 11:49 AM
Digital NSTP Subscribe