Stadium Darul Makmur, Kuantan. FOTO NSTP
Stadium Darul Makmur, Kuantan. FOTO NSTP


STADIUM Darul Makmur, Kuantan mendapat kelulusan mengadakan perlawanan saingan Liga Malaysia (Liga M), khususnya Liga Super daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Sumber Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), berkata kelulusan itu diberikan selepas pegawai MFL berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan di stadium berkenaan.

Menurutnya, penekanan utama MFL ialah membabitkan tahap pencahayaan lampu limpah dan padang rumput stadium yang memenuhi syarat ditetapkan.

"Segalanya sudah selesai dan skuad Pahang boleh bermain di Stadium Darul Makmur dalam saingan Liga M musim ini.

"MFL berpuas hati dengan tahap pencerahan dan rumput untuk memastikan aksi perlawanan berjalan lancar," katanya. Baru-baru ini, Kerajaan Pahang memperuntukkan RM160,000 untuk menaik taraf kemudahan Stadium Darul Makmur sebagai persediaan menghadapi saingan Liga M musim ini.

Daripada jumlah itu, RM100,000 diperuntukkan untuk menaik taraf lampu limpah dan aksesori tambahan, kemudahan kerusi pemain (RM50,000) dan penyelenggaraan rumput (RM10,000).

Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM), Mohamad Nasir Jusoh sebelum ini berkata, perbadanan itu mempertingkatkan kemudahan di stadium itu sebelum saingan Liga M bermula.

"Peruntukan RM100,000 itu membabitkan kos pemasangan dan penyelenggaraan lampu limpah yang memenuhi piawaian yang ditetapkan dari segi tahap pencerahan.

"Selain itu, penambahbaikan kemudahan kerusi pemain itu selaras dengan syarat yang ditetapkan oleh MFL terutama keselesaan," kata Mohamad Nasir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 12:38 PM
Digital NSTP Subscribe