Nwakaeme (dua dari kanan) sah bersama pasukan Pahang musim ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Nwakaeme (dua dari kanan) sah bersama pasukan Pahang musim ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT


PAHANG akhirnya menamatkan teka-teki apabila Dickson Nwakaeme atau ‘Orang Besi’ sah bersama skuad Tok Gajah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Penyerang Nigeria itu menandatangani kontrak bersama skuad kendalian Dollah Salleh itu di sini hari ini, selepas beberapa minggu menjalani sesi ujian pemilihan bersama Pahang.

Justeru, pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pemain berumur 34 tahun itu diharap membantu memperkasakan jentera serangan skuad Tok Gajah.

Katanya, sentuhan berbisa Nwakaeme diyakini mengerunkan lawan selepas mempamerkan aksi dalam saingan Liga M musim lalu.

“Saya harap dia (Nwakaeme) lebih padu musim ini di bahagian serangan sambil dibantu rakan sepasukan termasuk empat import lain,” katanya.

Dengan pengesahan Nwakaeme dalam Pahang musim ini, skuad itu melengkapkan lima kuota pemain import.

Musim lalu, Nwakaeme membuktikan dia penyerang berbisa selepas meledak 19 gol bersama Pahang, termasuk sembilan gol dalam saingan Piala Malaysia.

Sebelum ini, Nwaekaeme pernah berkata, Pahang adalah kampung keduanya kerana pernah mencipta kejayaan manis terutama menjulang Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih pada 2014.

Empat import yang menyarung jersi Tok Gajah musim ini ialah penyerang Brazil, Ivan Carlos, Harold Goulon (Perancis), Adam Reed (Filipina) dan Khalil Khamis (Lubnan).

Kehadiran Khalil bakal mengukuhkan kembali jentera pertahanan skuad itu selepas Matthew Davies meninggalkan Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 7:11 PM