PARA pemain UniKL meraikan kejayaan dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan pasukan THT pada perlawanan akhir Piala TNB 2020 di Stadium Hoki Bukit Jalil. FOTO BERNAMA
PARA pemain UniKL meraikan kejayaan dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan pasukan THT pada perlawanan akhir Piala TNB 2020 di Stadium Hoki Bukit Jalil. FOTO BERNAMA
BERNAMA

DUA gol pantas dalam tempoh seminit menyaksikan pasukan hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) meraih gelaran ‘treble’ musim ini selepas menundukkan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 2-1 pada saingan akhir Piala TNB 2020.

Keputusan itu menutup musim cemerlang jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, selepas mengekalkan rekod tanpa kalah serta menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL).

Bagaimanapun, UniKL terpaksa berhempas pulas untuk menembusi benteng pertahanan THT yang dikemudikan pemain import Korea Selaran, Jang Jon Hyun.

Malah, THT membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi penyerang Nabil Fikri Mohd Noor melalui percubaan pukulan sudut penalti.

UniKL sebagai pasukan terbaik dengan rekod 14 perlawanan tanpa kalah dalam saingan liga, tidak patah semangat untuk terus berjuang pada aksi separuh masa kedua.

Kelekaan benteng pertahanan THT pada minit ke-48 membawa padah apabila Mohd Faid Farhahd Mohamad Shah dan pemain kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jali melakukan gerakan pantas untuk melakukan jaringan padang dalam tempoh seminit.

“Ini adalah kenangan paling manis untuk menang tiga piala serta mengekalkan rekod bersih musim ini. Tahun depan, kita perlu buat persiapan awal untuk meningkatkan prestasi.

“Semua tahu nak memang lebih mudah dari nak pertahankan kejuaraan. Namun secara keseluruhan saya rasa pasukan UniKL telah bermain dengan baik sepanjang musim,” kata Arul selepas perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini.

Sementara itu, hasrat juara baharu Liga Hoki Wanita Malaysia 2020, Hockademy meraih gelaran berganda tidak kesampaian apabila tumpas 1-2 kepada PKS Uniten dalam aksi final Piala Vivian May Soars.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 12:15 AM
Digital NSTP Subscribe