ZAKARIA berkata pemberian dana sama rata kepada pasukan Liga Super dan Liga Perdana perlu ditambah dengan tiga pakej lain seperti mana yang dilakukan liga-liga terbaik dunia. FOTO NSTP
ZAKARIA berkata pemberian dana sama rata kepada pasukan Liga Super dan Liga Perdana perlu ditambah dengan tiga pakej lain seperti mana yang dilakukan liga-liga terbaik dunia. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) disaran menyediakan tiga pakej pemberian dana dan hasil keuntungan hak penyiaran kepada semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) bagi membantu pendapatan pasukan.

Jelas bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim, pemberian dana sama rata kepada pasukan Liga Super dengan RM1 juta dan RM500,000 buat Liga Perdana perlu ditambah dengan dua pakej lain seperti mana yang dilakukan liga-liga terbaik dunia antaranya di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Beliau yang berpengalaman mengendalikan beberapa kelab amatur di Manchester, England selama enam tahun berkata, MFL boleh memberi dana tambahan berdasarkan kedudukan akhir setiap pasukan dalam carta liga.

Seterusnya, pasukan yang banyak mendapat liputan perlawanan secara langsung harus diberi insentif tambahan hasil daripada keuntungan hak penyiaran.

“Saya lihat MFL boleh usaha sediakan dana untuk tambah dua lagi cara pemberian dana kepada semua pasukan. Kalau ikutkan RM1 juta itu adalah pemberian sama rata yang liga-liga lain pun buat.

“Biasanya ada lima kaedah pemberian dana dan keuntungan. Saya cadang MFL sediakan dana untuk pasukan mengikut kedudukan liga. Pasukan nombor satu akan dapat dana lebih manakala pasukan terbawah dapat sekian bahagian.

“Ini secara langsung akan meningkatkan motivasi pasukan untuk bersaing tamatkan kedudukan selaku juara yang akan dapat habuan lumayan. Lagipun, pasukan yang berbelanja besar biasanya memang sasar nombor satu dan pemberian dana yang banyak barulah adil buat mereka.

“Kemudian, pasukan yang dapat banyak siaran langsung perlu diberi dana tambahan lagi. Kena ingat jika TM (Telekom Malaysia) dapat hak penyiaran, mereka adalah saluran berbayar jadi MFL boleh dapat tajaan besar daripada mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, MFL mengumumkan nilai tajaan sejumlah RM18 juta musim ini yang akan diagihkan kepada 12 pasukan Liga Super (RM1 juta) dan RM500,000 buat 12 pasukan Liga Perdana.

Ia adalah hasil tajaan TM yang difahamkan berjumlah RM30 juta buat tiga musim dan CIMB sebanyak RM5 juta untuk tempoh dua musim.

“Pemberian RM1 juta untuk Liga Super memang tak cukup. Paling minima pun kena ada RM5 juta untuk harungi Liga Super sepanjang musim. Tapi kalau nak lagi baik dan nak cabar piala, kena ada maksima RM20 juta dah ‘sedap’ dah.

“Memang betul nilai selebihnya kena diusahakan oleh pasukan sendiri menerusi penajaan syarikat luar atau kerajaan negeri, jualan jersi, tiket-tiket perlawanan dan lain-lain.

“Tapi cuba bayangkan kalau susah nak dapat tajaan, ditambah pula mulai tahun depan semua pasukan kena diswastakan dan bermakna tak boleh guna duit kerajaan negeri.

“Sebab itulah diwujudkan MFL untuk bantu pasukan mencari dana dan berkongsi keuntungan liga buat semua pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 1:03 AM
Digital NSTP Subscribe