X
JERSI pramusim yang dipakai pemain import baru Pahang, Ivan Carlos (kanan). FOTO RAFI MAMAT
JERSI pramusim yang dipakai pemain import baru Pahang, Ivan Carlos (kanan). FOTO RAFI MAMAT


PERSATUAN Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) akan mengadakan majlis memperkenal skuad Pahang dan pelancaran jersi baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2020 di sini, esok. 

Majlis itu dijangka disempurnakan Timbalan Presiden PBNP, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak yang juga Setiausaha Kerajaan Pahang. 

Pelancaran jersi itu sudah pasti dinantikan penyokong skuad Tok Gajah sebelum Pahang memulakan saingan Liga Super bertemu Selangor, 29 Februari ini.

 

Musim ini, skuad kendalian Dollah Salleh mengekalkan dua import musim lalu iaitu Dickson Nwakaeme dari Nigeria dan Herold Goulon (Perancis). 

Tiga import baru Tok Gajah musim ini ialah Ivan Carlos dari Brazil, Adam Reed (Filipina) dan Khalil Khamis (Lubnan). 

Mereka menggantikan Lazarus Kaimbi dari Namibia, Saddil Ramdani (Indonesia) dan Safuwan Baharudin (Singapura). 

Namun, musim ini, Pahang terpaksa menerima hakikat bahawa tiada lagi pertahanan kental yang juga kapten pasukan, Matthew Davies yang berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT).

Namun, kehadiran dua pemain pinjaman JDT, Fazly Mazlan dan S Kumaahran diyakini membantu memperkemaskan skuad Tok Gajah. 

Pada masa sama, Pahang turut menyenaraikan beberapa pemain muda untuk memperkasakan pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 7:58 PM