PASUKAN PTT Chonburi Bluewave muncul juara Piala Futsal Antrabangsa Sultan Ahmad Shah 2020 di Stadium SUKPA. FOTO MOHD RAFI MAMAT
PASUKAN PTT Chonburi Bluewave muncul juara Piala Futsal Antrabangsa Sultan Ahmad Shah 2020 di Stadium SUKPA. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


WAKIL Thailand, PTT Chonburi Bluewave menewaskan Tachikawa Fuchu Athletic 4-2 untuk muncul juara kejohanan Piala Futsal Antrabangsa Sultan Ahmad Shah 2020 di Stadium SUKPA, malam tadi.

Ketinggalan 1-2 pada babak pertama tidak mematahkan semangat pemain Gajah Putih untuk bangkit dipenghujung permainan untuk membenam lawan.

Jurulatih PTT Chonburi Bluewave, Carlos Cesar Nunex Gago berkata, persembahan yang konsisten dan bersemangat dipamerkan pemainnya pada babak kedua menjadi kelebihan untuk meraih kemenangan.

Menurutnya, ketinggalan 1-2 pada babak pertama tidak mematahkan semangat pemain untuk bangkit sepanjang separuh masa kedua hingga menyaksikan lawan sukar untuk menyerlah.

“Saya berpuas hati dengan kejayaan muncul juara malam ini walaupun mendapat tentangan sengit pada dua perlawanan yang dilalui. Perlawanan pertama semalam kita menewaskan Nakai FC dari Jepun 6-1.

“Saya berharap kejayaan malam ini menjadi landasan untuk pasukan PTT Chonburi Bluewave meraih kejayaan pada masa akan datang,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, kesungguhan yang dipamerkan pemain menjadi kelebihan kepada PTT Chonburi Bluewave untuk merangkul kejuaraan pertama dipentas antarabangsa tahun ini.

Cesar Nunex berkata, walaupun pemain tidak cukup rehat sepanjang dua hari kejohanan namun semangat pemain begitu tinggi apabila mampu mencatat dua kemenangan selesa seterusnya muncul juara.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah.

Hadir sama Presiden Pahang Rangers Tengku Fahd Mu’adzam Shah Sultan Ahmad Shah.

Tempat ke tiga milik FC Nakai dari Jepun dan keempat wakil negara Pahang Rangers.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 10:49 PM
Kabinet Malaysia 2020