HENDERSON cedera ketika aksi berdepan Atletico Madrid. FOTO AFP
HENDERSON cedera ketika aksi berdepan Atletico Madrid. FOTO AFP
Agensi

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp dijangka melakukan sekurang-kurangnya satu pertukaran dalam kesebelasan utama berdepan West Ham United untuk aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) esok.

Ini disebabkan Jordan Henderson tidak dapat beraksi dan dijangka berehat tiga minggu selepas mengalami kecederaan hamstring ketika menentang Atletico Madrid minggu lalu.

Klopp dijangka melakukan sedikit rombakan di bahagian tengah ketika menanti kunjungan The Hammers namun beliau yakin pasukannya mampu menangani masalah ketiadaan ketua pasukan Liverpool itu.

“Kami mempunyai pilihan dan itu satu berita yang baik. Ini adalah peluang sebenarnya. Peluang kepada mereka semua. Hendo tidak akan dapat beraksi bermula dari sekarang hingga tamat musim.

“Jika ada posisi yang perlu diperkemaskan, kami akan cuba perkemaskan,” kata Klopp.

Liverpool tidak berdepan sebarang masalah kecederaan baharu selepas tumpas di Stadium Metropolitano.

Xherdan Shaqiri belum boleh beraksi dan belum menyambung latihan bersama pasukan manakala Nathaniel Clyne masih dalam proses pemulihan kecederaan jangka panjang.

“Pemain lain semuanya cergas. Kita akan lihat siapa bakal memulakan perlawanan, mungkin kami akan melakukan lebih banyak perubahan, tapi ia bukannya disebabkan kami kalah ketika menentang Atletico,” katanya.

Sementara itu, West Ham mungkin akan berkunjung ke Anfield tanpa Ryan Frederick selepas dia mengalami kecederaan bahu ketika kalah 0-2 kepada Manchester City.

Perlawanan itu juga terlalu awal buat Andriy Yarmolenko yang sudah lama tidak diturunkan David Moyes sejak pertengahan Disember berikutan kecederaan paha.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 7:15 AM
Digital NSTP Subscribe