AUBAMEYANG meraikan gol ketiganya. FOTO Reuters
AUBAMEYANG meraikan gol ketiganya. FOTO Reuters
AFP

MIKEL Arteta mengakui Pierre-Emerick Aubameyang memadam tanggapan keraguan komitmennya terhadap kelab apabila kapten Arsenal itu meledak dua gol ketika membantu mencatat kemenangan 3-2 ke atas Everton, hari ini.

Untuk sebahagian besar musim yang bermasalah, Arsenal juga dilihat akan tersingkir pada saingan kelayakan Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun selepas era malap di bawah Unai Emery, kehadiran Arteta menyaksikan kelab itu mula menampakkan kebangkitan.

Selepas Dominic Calvert-Lewin menjaringkan gol seawal minit pertama di Stadium Emirates, Arsenal menyamakan kedudukan menerusi Eddie Nketiah sebelum Aubameyang menambah gol kedua.

Bagaimanapun Richarlison menyamakan kedudukan untuk Everton sekali gus menyaksikan babak pertama terikat 2-2 tetapi Aubameyang yang juga penyerang Gabon, berjaya meledak gol kemenangan minit ke-46.

Arteta mendedahkan beliau pada mulanya kurang yakin dengan keupayaan Aubameyang namun selepas menyaksikan kapten Arsenal itu mempamerkan aksi cemerlang, ia mula meningkatkan keyakinan pengendali dari Sepanyol itu.

“Sebelum mengambil alih kelab saya agak ragu-ragu terhadapnya tetapi dia menunjukkan komitmen yang tinggi. Saya mahu dia menunjukkan jika dia mahu melakukannya dan lakukannya dengan betul,” kata Arteta.

“Saya sangat gembira dengannya. Dia menjaringkan gol penting dan sebagai kapten dia menunjukkan contoh baik kepada sesiapa saja,” katanya lagi.

Arsenal kini mendaki mengatasi Everton ke kedudukan kesembilan dan empat mata di belakang pasukan tangga kelima, Manchester United.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 8:00 AM
Digital NSTP Subscribe