FELIX (kanan) meraikan gol jaringannya bersama Koke (tengah) dan Alvaro Morata (kiri). FOTO Reuters
FELIX (kanan) meraikan gol jaringannya bersama Koke (tengah) dan Alvaro Morata (kiri). FOTO Reuters
Reuters

PEMAIN termahal Atletico Madrid, Joao Felix menjaringkan gol pertama di saingan liga selepas hampir lima bulan ketika membantu kelabnya menewaskan Villarreal 3-1 di tempat sendiri sekali gus kembali ke kedudukan empat teratas La Liga.

Pemain berusia 20 tahun itu yang ditandatangani dari Benfica dengan nilai perpindahan AS$136.62 juta (RM575.8juta) tahun lalu, terlepas beraksi hampir keseluruhan bulan lalu kerana berdepan kecederaan.

Dia masuk sebagai pemain gantian sebelum menjaringkan gol ketiga selepas Paco Alcacer meletakkan Villarreal di depan pada awal permainan.

Penyerang Argentina, Angel Correa menyamakan kedudukan untuk Atletico sebelum berakhir babak pertama manakala kapten, Koke menambah gol kedua minit ke-64 dan Felix kemudian menjaringkan gol ketiga.

Kemenangan itu selepas aksi cemerlang Atletico menang 1-0 di tempat sendiri ke atas juara bertahan Liga Juara-Juara, Liverpool, Selasa lalu dan menyaksikan skuad bimbingan Diego Simeone kini menduduki tangga ketiga liga.

“Adalah amat penting untuk kami meraih tiga mata kerana kami tahu seteru utama meraih keputusan yang tidak memihak kepada mereka,” kata Correa merujuk kepada Sevilla yang berjaya menewaskan Getafe pada perlawanan terdahulu.

“Kami mahu bersaing di tangga teratas liga dan untuk itu, kami amat gembira dengan keputusan ini,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 10:05 AM