PASUKAN ATM Bentara D (jersi kuning) muncul juara Piala Menteri Besar Terengganu selepas menumpaskan MARA Libas B di Stadium Negeri, semalam. FOTO Malik Muhamad
PASUKAN ATM Bentara D (jersi kuning) muncul juara Piala Menteri Besar Terengganu selepas menumpaskan MARA Libas B di Stadium Negeri, semalam. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


REGU ATM Bentara D, Kuala Lumpur terpaksa bermandi peluh sebelum muncul juara Kejohanan Sepaktakraw Piala Menteri Besar Terengganu selepas menundukkan regu MARA Libas B, 2-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Negeri, semalam.

ATM Bentara yang menurunkan Muhamad Nazmi Mohd Najib (tekong), Ab Muhaimi Che Bongsu (perejam) dan Muhamad Omar Mohamad (pengumpan), terpaksa beraksi tiga set sebelum menang 21-11, 10- 21, 21-16 ke atas regu MARA Libas B yang diketuai bekas tekong negara, Mohd Syahir Rosdi, Mohd Azlan Alias (perejam) dan Zulkarnain Ariff (pengumpan).

Dalam kejohanan itu, tekong terbaik menjadi milik Mohd Syahir, apit kanan terbaik diraih Ab Muhaimi manakala Muhamad Omar dipilih apit kiri terbaik.

Selaku juara ATM Bentara membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta piala manakala MARA Libas B meraih RM3,000.

Bagi kategori Piala Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, pasukan Hanelang B membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 selepas muncul juara menumpaskan Gastep, 2-1 yang berpuas hati meraih hadiah RM1,000.

Pemain Hanelang B, Muhammad Amar Roslan dan Muhammad Afif Azimin Zainal Abidin masing-masing dipilih tekong dan apit kiri terbaik manakala Ahmad Ameerul Aizatt Awang daripada Gastep dipilih apit kanan terbaik.

Pengerusi kejohanan, Rosmadi Mohamad berkata, sebanyak 30 regu dari seluruh negara bertarung merebut Piala Menteri Besar Terengganu manakala 76 regu bersaing bagi merebut gelaran juara Piala Exco Belia, Sukan dan NGO negeri.

“Kejohanan yang diadakan selama tiga hari bermula 21 Februari berjaya mengesan bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi,” kata Rosmadi ketika ditemui di Stadium Negeri.

Hadiah disampaikan Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT), Mohd Abas. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 2:02 PM
Digital NSTP Subscribe