REED teruja untuk turun aksi pertama bertemu Selangor, Sabtu ini. FOTO Zulkepli Osman
REED teruja untuk turun aksi pertama bertemu Selangor, Sabtu ini. FOTO Zulkepli Osman


PEMAIN import baru Pahang, Adam Reed teruja untuk berdepan Selangor apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi pertama Liga Super di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Reed berkata, dia difahamkan bahawa Red Giants antara pasukan yang mantap dan sudah pasti Pahang akan mempamerkan prestasi terbaik untuk mencatat kemenangan ke atas lawan itu.

“Sebenarnya saya tahu pertemuan dengan Selangor Sabtu ini dijangka sengit dan saya dan rakan sepasukan sudah bersedia dan mempamerkan prestasi terbaik.

“Sebagai pemain baru dalam pasukan, saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan Pahang menlakar kejayaan musim ini,” kata pemain berumur 29 tahun itu.

Mengulas persediaan Pahang menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, Reed percaya skuad Tok Gajah berada pada prestasi terbaik.

Bekas pemain kelab Chainat Hornbill FC, Thailand itu berkata, dengan komitmen tinggi daripada semua pemain, tiada yang mustahil untuk meletakkan Pahang mencatat keputusan membanggakan.

“Bagi saya ketiadaan Matthew Davies pada saat akhir juga tidak menjejaskan persiapan skuad kerana kami sedia memberikan yang terbaik musim ini.

“Saya hanya sempat beberapa kali menjalani latihan bersama Davies. Tapi dengan pemain sedia ada, skuad ini tetap berada pada prestasi menyakinkan,” kata pemain kebangsaan Filipina itu.

Selain Reed, Pahang turut menyenaraikan empat lagi import iaitu Dickson Nwakaeme dari Nigeria, Herold Goulon (Perancis), Ivan Carlos (Brazil) dan Khalil Khamis (Lubnan).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 1:56 PM