OLTMANS (kiri) dikatakan sudah berbincang dengan pemain sebelum menggugurkan tonggak senior. FOTO BERNAMA
OLTMANS (kiri) dikatakan sudah berbincang dengan pemain sebelum menggugurkan tonggak senior. FOTO BERNAMA
BERNAMA

PELUANG masih terbuka kepada bekas pemain negara untuk kembali menyarung jersi kebangsaan pada masa depan walaupun nama mereka tiada dalam panggilan terbaharu yang dikeluarkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak menegaskan, keputusan pengguguran beberapa pemain berpengalaman termasuk pasangan adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari serta pemain pertahanan, Sukri Abdul Mutalib dibuat oleh ketua jurulatih Roelant Oltmans tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

“Keputusan pemilihan pemain adalah keputusan profesional daripada jurulatih (Oltmans), dan keputusan itu dibuat selepas beliau berbincang dengan pemain, dan dalam perbincangan itu, pemain pun dah faham kenapa nama mereka tidak dimasukkan sekali dalam panggilan terbaharu kali ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau meminta pemain terbabit supaya tidak terlalu kecewa, dan menjelaskan badan induk itu sedia membuka pintu kepada mereka untuk kembali berada dalam skuad kebangsaan.

Faizal dilaporkan meluahkan kekecewaan di akaun Facebooknya semalam selepas namanya tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, April ini.

Oltmans baru-baru ini mengambil keputusan menyenaraikan 11 muka baharu yang merupakan pemain muda dalam senarai 34 pemain bagi membolehkan mereka dinilai untuk berada dalam kelompok 25 pemain kebangsaan bagi mengharungi musim 2020.

Bagaimanapun, beberapa pemain berpengalaman negara seperti Faizal, Fitri, Sukri, Nabil Fiqri Mohd Noor dan Joel Van Huizen digugurkan.

Dalam pada itu, Ahmad Najmi memaklumkan masa depan Oltmans bersama skuad kebangsaan akan diputuskan oleh MHC selepas Piala Sultan Azlan Shah dari 11 hingga 18 April ini.

Pada Disember lalu, MHC mengumumkan penamatan kontrak semua jurulatih di bawah badan induk itu, kecuali Oltmans dalam usaha menyuntik nafas baharu kepada struktur arena hoki tanah air.

Skuad negara disasarkan layak ke final dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah edisi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 8:04 PM
Digital NSTP Subscribe