X
JIKA muncul juara lebuh raya individu lelaki di ACC 2020 Harrif akan dianugerahkan tiket automatik untuk ke Kejohanan Lebuh Raya Dunia di Switzerland, Oktober depan. FOTO NSTP
JIKA muncul juara lebuh raya individu lelaki di ACC 2020 Harrif akan dianugerahkan tiket automatik untuk ke Kejohanan Lebuh Raya Dunia di Switzerland, Oktober depan. FOTO NSTP
BERNAMA

PENCAPAIAN cemerlang di Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL 2020) membolehkan pelumba lebuh raya negara Harrif Saleh atau terkenal dengan nama gelaran, ‘Mamat’ terpilih mewakili negara ke Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2020.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata pihaknya memandang serius pencapaian pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG) itu pada LTdL 2020, baru-baru ini.

“Harrif muncul juara dua perlumbaan peringkat LTdL 2020. Pencapaian itu tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Pencapaiannya itu ialah satu merit yang amat ketara.

Kejayaan ini membuktikan beliau sebagai pakar pecut bertaraf dunia dan berpeluang untuk menang pingat di ACC 2020,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Abu Samah berkata juara lebuh raya individu lelaki pada ACC 2020 nanti akan dianugerahkan tiket automatik untuk ke Kejohanan Lebuh Raya Dunia di Switzerland, Oktober depan.

Dalam masa sama Abu Samah turut memberi bayangan bahawa pelumba berpengalaman Fauzan Ahmad Lutfi akan kembali menyarung jersi negara bagi memperkuatkan skuad ujian masa berpasukan di ACC 2020.

Fauzan akan kembali digandingkan bersama pemenang pingat emas acara ujian masa berpasukan lelaki Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur iaitu Ameer Ahmad Kamal, Ameen Ahmad Kamal dan Nik Azwan Zulkiflie.

ACC 2020 pada awalnya dijadualkan diadakan pada Mac ini dan penyertaannya sudah pun melebih 650 peserta namun ekoran penularan wabak koronavirus, ACC memutuskan untuk menunda kejohanan itu bagi mengelak virus berkenaan menular di Malaysia.

Abu Samah berkata PKBM akan menyerahkan beberapa tarikh baharu penganjuran ACC 2020 selepas penundaan kejohanan susulan penularan wabak koronavirus.

“Kita akan beri beberapa tarikh kepada ACC ( Konfederasi Berbasikal Asia). Antaranya bermula 30 Jun dan berakhir 5 Julai. Bagaimanapun, terpulanglah kepada ACC untuk menentukan tarikh ACC 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 9:44 PM
Digital NSTP Subscribe