Rizar Mohd Noor


GANDINGAN serangan Kedah yang diterajui Kpah Sherman dan Kipre Tchetche mampu menjadi pemusnah Johor Darul Ta’zim (JDT) seandai kedua-dua pemain itu tidak diawasi pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Justeru pengendali JDT, Benjamin Mora mahu benteng pertahanan skuad Harimau Selatan supaya lebih fokus dan tidak mudah terpedaya dengan helah kelibat ‘2K’ itu yang dianggap bijak menghidu peluang terhidang bagi menjaringkan gol.

“Mereka memiliki dua pemain serangan yang berbahaya dan kita harus lebih waspada dengan Kpah (Sherman) yang begitu licik ketika bersama PKNS FC dan Kipre (Tchetche) juga tidak kurang hebat ketika menyertai Terengganu FC.

“Persiapan Kedah untuk menentang kami juga tampak hebat, ia pasti menjadi perlawanan yang menarik dan ia terbukti ketika aksi final Piala Malaysia musim lalu.

“Kami juga sudah membuat persiapan rapi dan kemasukan beberapa pemain terutama Liridon Krasniqi dan Matthew Davies bagi memantapkan lagi JDT di posisi tengah dan pertahanan dan saya lihat kedua-dua pemain itu cepat menyesuaikan diri dengan falsafah permainan JDT,” katanya.

PENGENDALI JDT Benjamin Mora (kanan) dan jurulatih, Kedah Aidil Sharin Sahak bersama Piala Sumbangsih pada sidang media di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. FOTO BERNAMA
PENGENDALI JDT Benjamin Mora (kanan) dan jurulatih, Kedah Aidil Sharin Sahak bersama Piala Sumbangsih pada sidang media di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. FOTO BERNAMA

Sementara itu, Kedah akan turun tanpa kelibat Farhan Roslan yang mengalami kecederaan.

Perkara itu disahkan pengendali skuad Lang Merah, Aidil Shahrin Sahak pada sidang media pra perlawanan piala berkenaan di bilik sidang media di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.

“Semua pemain Kedah bebas daripada kecederaan kecuali Farhan dan persiapan tampak berjalan lancar dan mengakui akan berdepan tugas berat menentang JDT tatkala beraksi d ‘rumah baharu’ mereka dan pasti mereka akan turun dengan habis-habisan,” katanya.

Ditanya mengenai padang stadium berkenaan yang menggunakan rumput dari jenis Zeon Zoysia berbeza dengan rumput ‘cow grass’ yang sering digunakan skuad Kedah, pengendali dari Singapura itu mengakui tidak mengetahui lebih lanjut mengenai rumput baharu di stadium JDT itu.

Katanya, hanya ketika beraksi di padang pada perlawanan itu nanti, barulah pemainnya mampu menyesuaikan diri dan segalanya terserah kepada kepantasan pemain untuk sesuaikan diri

“Apa yang mahu daripada pemain tiada alasan ketika beraksi di padang yang berbeza dan kami akui ia adalah padang terbaik yang ada di Malaysia dan sudah tentu kami mahu memperaga aksi terbaik dan kami kena ambil peluang itu,” katanya.

end

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 11:18 PM