FERNANDES (tengah) menjaringkan gol pertama United. FOTO Reuters
FERNANDES (tengah) menjaringkan gol pertama United. FOTO Reuters
Reuters

MANCHESTER United dan Wolverhampton Wanderers melangkah ke kelompok 16 terakhir Liga Europa selepas meraih kemenangan secara agregat ke atas lawan masing-masing.

United mencatatkan kemenangan 5-0 ke atas Bruges pada aksi timbal balik di Old Trafford untuk agregat 6-1 manakala Wolves pula tewas 2-3 di tangan Espanyol di tempat lawan namun tetap mara menerusi agregat 6-3.

Odion Ighalo membarisi kesebelasan utama buat kali pertama serta meraih gol pertamanya untuk Manchester United selepas Bruno Fernandes meletakkan tuan rumah di depan menerusi sepakan penalti minit ke-27 yang turut menyaksikan layangan kad merah kepada pertahanan Bruges, Simon Deli.

Scot McTominay menjadikan kedudukan 3-0 memihak United menerusi rembatan dari jarak 18 meter sebelum tamat separuh masa pertama.

Pemain tengah Brazil, Fred mengukuhkan kedudukan United apabila menyumbang gol keempat minit ke-82 serta gol kelima pada masa kecederaan.

Wolves pula yang selesa dengan kemenangan 4-0 pada perlawanan pertama, menyaksikan Adam Traore menghadiahkan gol pertama pada aksi timbal balik sebelum Matt Doherty menyumbang gol kedua minit ke-79.

Jonathan Calleri pula meledak hatrik untuk Espanyol minit ke-16, 57 dan masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 9:36 AM
Digital NSTP Subscribe