Pengurusan The Cops memberi arahan kepada pemain pada aksi pra musim. FOTO Ihsan PDRM
Pengurusan The Cops memberi arahan kepada pemain pada aksi pra musim. FOTO Ihsan PDRM
Firdaus Hashim


PDRM FC boleh menarik nafas lega apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pasukan itu terlepas daripada hukuman pemotongan enam mata selepas berjaya menyelesaikan dan mencapai persetujuan pelan pembayaran tunggakan gaji bernilai hampir setengah juta sebelum tarikh akhir yang ditetapkan hari ini.

Sebelum ini, skuad The Cops dikenakan hukuman pemotongan tiga mata untuk aksi Liga Super pada 3 Februari lalu selepas mereka gagal berbuat demikian mengikut tarikh akhir pertama yang ditetapkan pada 31 Januari lalu.

Sudah tentu, keputusan FAM sedikit sebanyak menyuntik semangat pemain-pemain PDRM menjelang aksi pertama liga bertemu Sabah di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad ini.

Malah, keputusan badan induk bola sepak tempatan itu diambil kira selepas usaha berterusan pihak pengurusan PDRM mencari jalan penyelesaian.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menghargai usaha yang dilakukan PDRM dalam menyelesaikan masalah membabitkan 20 pemain dan tiga pegawai pasukan terbabit yang berjaya diselesaikan sama ada menerusi pembayaran penuh atau pembayaran secara ansuran seperti yang dipersetujui.

"Secara terperincinya, PDRM berjaya menyelesaikan bayaran berjumlah RM623,525.88 iaitu penyelesaian penuh membabitkan dua pemain tempatan, pembayaran 50 peratus kepada 14 pemain yang mana bakinya akan dibayar secara ansuran seperti yang dipersetujui.

"Manakala empat pemain import iaitu dua pemain sudah dibayar penuh dan dua pemain dibayar secara ansuran," kata Stuart.

Sementara tiga pegawai pasukan pula, kes mereka sudah dibawa ke Jawatankuasa Status FAM dan akan didengar pada Selasa depan.

"FAM berharap PDRM dapat menyelesaikan baki tunggakan yang akan dibayar secara ansuran itu iaitu berjumlah RM611,029.88 mengikut jadual pembayaran yang telah dipersetujui kedua-dua pihak, pasukan dan pemain.

"Ini kerana FAM akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan pasukan-pasukan yang terbabit mengikuti pelan penyelesaian baki tunggakan gaji seperti yang telah dipersetujui bersama pemain dan pegawai.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 9:30 PM