GAYA Aranguiz meraikan jaringan. FOTO Reuters
GAYA Aranguiz meraikan jaringan. FOTO Reuters
AFP

BAYER Leverkusen bangkit menewaskan Union Berlin 3-1 di BayArena untuk mara ke separuh akhir Piala Jerman, awal pagi tadi.

Skuad Peter Bosz berpeluang menjuarai kejohanan itu buat kali kedua dalam sejarah mereka dan menyertai Bayern Munich dan Saarbruecken dalam saingan empat terakhir.

Marcus Ingvartsen meletakkan pelawat di depan pada minit ke-39 menerusi tandukan selepas menerima hantaran Marius Buelter.

Tetapi Union yang juga naib juara kepada Schalke pada 2001 tidak bernasib baik ketika permainan berbaki 19 minit apabila pertahanan, Christopher Lenz dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua.

Leverkusen pantas memanfaatkan peluang seminit selepas itu apabila menyamakan kedudukan menerusi rembatan rendah Karim Bellarabi.

Tuan rumah melengkapkan kebangkitan hasil tandukan pemain Chile, Charles Aranguiz sebelum Moussa Diaby menjaringkan gol pada masa tambahan.

Dalam satu lagi perlawanan, jaringan Andre Silva dan Daichi Kamada membawa Eintracht Frankfurt ke separuh akhir selepas menewaskan Werder Bremen 2-0.

Semalam, juara bertahan, Bayern Munich meneruskan misi memburu treble iaitu Bundesliga, Piala dan Liga Juara-Juara selepas menewaskan Schalke 1-0 manakala Saarbruecken mengejutkan pasukan lebih ternama Fortuna Duesseldorf menerusi penentuan penalti untuk menjadi pasukan divisyen empat pertama mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 8:39 AM