Kpah Sherman (kanan) jadi sandaran jentera serangan Kedah. FOTO AFC
Kpah Sherman (kanan) jadi sandaran jentera serangan Kedah. FOTO AFC
Izzali Ismail


KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak melahirkan keyakinan penuh terhadap kemampuan dua penyerang licik Kedah iaitu Kpah Sherman dan Kipre Tchetche untuk menjadi peledak utama buat skuad Lang Merah pada musim ini.

Menurut jurulatih kelahiran Singapura ini, kedua-dua tonggak ini sudah bersedia dengan misi membantu Kedah pada aksi pertama di laman sendiri apabila turun bertemu Terengganu FC, Sabtu ini walaupun belum menghasilkan gol pada perlawanan Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) Jumaat lalu.

"Walau pun kedua-dua mereka tidak mencetak gol ketika aksi perlawanan bertemu JDT, namun kita boleh lihat semangat juang dan peranan yang ditunjukkan mereka sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

"Saya yakin keupayaan dan kesungguhan yang ditunjukkan dalam perlawanan pertama itu akan mereka teruskan apabila beraksi menentang Terengganu FC di laman sendiri nanti.

"Saya juga mengharapkan semua penyokong Kedah yang hadir ke Stadium Darul Aman dapat memberi laungan sorakan pembakar semangat yang tinggi bagi menaikkan motivasi mereka dalam usaha mendapatkan gol untuk Kedah." katanya.

Dalam masa yang sama Aidil juga turut memuji semua barisan pemainnya yang beraksi baik dalam perlawanan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru yang dihadiri seramai hampir 35,000 penyokong JDT.

Malah turut menjadi perhatian adalah aksi penuh berkeyakinan di ruang tengah dari dua pemain tempatan iaitu Amirul Hisyam dan Fadzrul Danel berjaya mengimbangi kelemahan yang dijangkakan sebelum ini.

"Bukan mudah sebenarnya beraksi dalam suasana stadium baharu JDT ini, namun saya tetap memuji semua pemain saya yang menunjukkan gaya permainan yang dirancangkan.

"Bukan hanya Amirul dan Fadzrul sahaja yang beraksi dengan baik namun ini semua adalah kerja sama sepasukan.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 9:22 PM