Shebby anggap prestasi turun naik pemain bola sepak perkara biasa.
Shebby anggap prestasi turun naik pemain bola sepak perkara biasa.
Firdaus Hashim


TAK perlu panik di atas kemerosotan prestasi pemain sayap kebangsaan dan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid terutama selepas dia 'mengganas' sepanjang musim lalu.

Bekas pemain Harimau Malaya era 80an, Serbegeth Singh berkata, prestasi turun naik yang dialami oleh seorang pemain profesional adalah sesuatu yang normal dan Safawi tidak terkecuali daripada masalah itu.

Beliau percaya pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu akan bangkit dengan aksi lebih bertenaga apabila memasuki fasa pertengahan Liga Malaysia (Liga-M) nanti.

"Bagi saya isu Safawi ini perkara biasa sebagai seorang pemain kerana dalam bola sepak kadang-kadang ada pasang dan surutnya.

"Lebih-lebih lagi musim lalu dia dah berikan sepenuhnya hingga muncul pemain terbaik Liga Malaysia selain membantu pasukan kebangsaan dalam kelayakan Piala Dunia dengan gol-gol menarik.

"Jadi untuk dia bangkit mungkin memerlukan sedikit masa dan bagi lebih baik dia bermula perlahan 80 peratus sebelum dia bangkit dengan 100 peratus apabila memasuki separuh perjalanan liga hingga habis," kata Serbegeth atau lebih dikenali dengan panggilan Shebby ketika dihubungi.

Semalam, Arena Metro melaporkan pemain yang memiliki rembatan kaki kiri 'ala roket' itu ditegur oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang hilang sabar dengan aksi merudum Safawi.

Menurut Tunku Ismail, kemerosotan mendadak pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim lalu itu disebabkan oleh tekanan daripada kekasihnya.

Menurut Serbegeth, mengenai soal peribadi Safawi dia tidak mahu masuk campur kerana setiap manusia ada kehidupan mereka.

"Cuma satu nasihat saya, Safawi jadilah diri sendiri dan berusaha bersungguh-sungguh tidak kira dalam latihan mahupun dalam perlawanan serta ambil setiap teguran sebagai pembakar semangat.

"Safawi seorang 'fighter' dan saya yakin dia akan buktikan yang dirinya adalah pemain yang istimewa. Dulu 2017 saya pernah mengkritiknya, tapi selepas itu dia bangkit dan membuatkan saya teruja dengan prestasinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 9:59 PM